Siakap Keli

Kepala Mengecil Sejak Lahir, Sakit Saraf Tulang Belakang, Nasib Anak & Isteri Dapat Perhatian, Bantuan Dihulurkan Serta-Merta

Seperti yang kita sedia maklum, sesetengah daripada mereka akan berasa malu dan terpinggir disebabkan kekurangan mereka. Ini menyebabkan mereka hilang atau kurang keyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat.
Tambahan pula dengan sikap negatif segelintir pihak yang memandang rendah kekurangan mereka dengan memberikan penderaansama ada dari segi fizikal mahupun mental akan menyebabkan mereka disisihkan dandipinggirkan daripada komuniti, lebih-lebih lagi OKU daripada kalangan kanak-kanak.

Sehubungan itu, bersempena sambutan bulan Ramadan lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkesempatan dan meluangkan masa berbuka puasa bersama anggota dan pegawai tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam majlis itu, kebajikan anggota tentera dan keluarga menjadi keutamaan. Menteri Kanan Pertahanan berkesempatan menyerahkan sumbangan sempena bulan Ramadan kepada lima orang anggota tentera yang memerlukan serta menyantuni dua orang waris anggota (PLDTD) yang menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan bantuan.

Nor Diana Yusmaliza Yusnizal, 9, anak kepada Sarjan Yusnizal Mohamed Yahaya daripada Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Pusasda yang menghidapi penyakit microcephaly (kepala mengecil) sejak dilahirkan.

Turut dikunjungi beliau, Siti Mazidah Mokhtar @ Zulkifly, 38, yang merupakan isteri kepada Pegawai Waran 2, Hazizi Jebeng yang bertugas di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED).

Siti Mazidah menghidap penyakit oesteoporosis saraf tulang belakang dan arteraitis dan kini masih menjalani rawatan berkala di Hospital Port Dickson dan sedang menunggu giliran bagi mendapatkan rawatan di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Kunjungan Ismail Sabri kelmarin demi mengambil tahu dan mengetahui sendiri keperluan dan tahap kesiapsagaan setiap kem.

“Saya akan melawat kem, setia dua minggu sekali saya akan melawat kem di seluruh negara. Saya akan mendengar dan diberi taklimat daripada segi kesiapsagaan tentera di setiap kem yang saya lawati.

“Kita tahu setiap kem mesti berada dalam keadaan kesiapsagaan bagi menghadapi apa juga keadaan yang berlaku, kita melihat daripada sudut itu,” katanya.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain , Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Ab Rahman dan Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd. Hadi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, sebanyak RM79.3 juta peruntukan tambahan telah diluluskan sepanjang tahun 2020.

“Hasil daripada lawatan kerja oleh Datuk Seri (Ismail Sabri) sepanjang tahun 2020 dan 2021, peruntukan tambahan berjumlah RM79.296 juta telah diluluskan kepada tentera darat.

“Peruntukan tambahan ini antaranya melibatkan kerja penyelenggaraan bangunan teknikal, naik taraf rumah keluarga anggota tentera, penurapan jalan dan penyelenggaraan dewan serbaguna. Semua ini dilaksanakan Datuk Seri dengan hasrat untuk menjamin kebajikan warga tentera darat sentiasa terpelihara,” katanya.

Nur Farra