Siakap Keli

Ini Yang Terjadi Jika Kapal Selam Tenggelam Melebihi Kemampuan Selamannya

Masuk hari ketiga operasi pencarian kapal selam KRI Nanggala 402, pihak Tentera Laut Indonesia masih lagi tidak berputus asa untuk mencari kapal selam tersebut mengikut petunjuk-petunjuk yang telah ditemui dengan bantuan daripada tentera laut dari Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat.

Cuma, yang menjadi kebimbangan adalah apabila terdapat kemungkinan bahawa kapal selam itu tenggelam pada kedalaman 700 meter dari permukaan laut. Had maksimum selaman bagi KRI Nanggala itu hanyalah sekitar 250 hingga 500 meter sahaja.

Ditambah pula apabila oksigen yang ada di dalam kapal selam itu dilaporkan hanya akan bertahan sehingga esok. Ia sememangnya akan memberi risiko kepada 53 kru yang berada di dalamnya.

Melihat kepada situasi tersebut, pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai apakah yang akan berlaku jika sesebuah kapal selam menyelam melebihi had maksimum selaman.

Sebelum merungkai mengenai persoalan itu, anda perlu tahu bahawa sesebuah kapal selam mempunyai tangki pemberat dan tangki tambahan atau tangki trim yang dapat diisi dengan air atau udara secara bergantian.

Untuk berada pada kedalaman yang ditetapkan, kapal selam perlu menjaga keseimbangan udara dan air di tangki trim sehingga kepadatan keseluruhannya sama dengan air di sekitarnya (neutral buoyancy).

Dicipta untuk tujuan ‘bersembunyi’

Terdapat cabaran utama apabila sesebuah kapal selam hilang iaitu untuk mencarinya. Seperti yang diketahui, kapal selam sememangnya dicipta untuk tujuan ‘bersembunyi’. Walaupun dalam latihan jarak dekat, agak sukar sebenarnya untuk menjaga hubungan sonar dengan kapal selam.

Kebiasaannya, tentera laut mempunyai prosedur yang telah dirancang bagi melancarkan pemeriksaan dan memulakan pencarian jika kapal selam gagal dihubungi. Ia akan segera diakftifkan apabila laporan tersebut tidak diterima.

Mereka akan beralih dari prosedur ‘SUBLOOK’ (mencari kapal selam) kepada ‘SUBMISS’ (kapal selam hilang) dan kemudian ketika tiada harapan dan terdapat bukti bahawa berlakunya kemalangan, ia akan disebut sebagai ‘SUBSUNK’.

Tekanan air beri kesan besar

Berkenaan dengan had maksimum sesebuah kapal selam pula, pegawai dari Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering Korea Selatan, Ahn Guk-hyeon, mengatakan bahawa kapal selam mungkin akan tenggelam jika berada lebih dari had maksimum kerana tekanan dalam air. Tetapi ia juga bergantung pada struktur dan sistem dalaman kapal.

Menurut The Conversation, apabila kapal dijumpai, tidak ada jaminan sama ada orang-orang di dalamnya masih hidup walaupun badan kapal selam tersebut belum meletup.

Sekiranya satu atau lebih bahagian kapal selam itu mengalami kebocoran, mungkin masih ada yang terselamat pada bahagian lain. Tetapi masalah utamanya adalah apabila udara menjadi terhad.

Menurut pensyarah di University of Kentucky, Dr Robert Farley, sesebuah kapal selam akan sukar dikesan jika berada di dasar laut yang dalam dan tidak membuat sebarang bunyi ‘bising’.

Kesukaran disebabkan kedalaman air

Bahagian dasar laut kebiasaannya sangat jarang untuk mempunyai permukaan yang rata. Ia menyukarkan proses pencarian seperti yang berlaku pada kapal selam Argentina San Juan pada tahun 2017 yang tenggelam pada kedalaman 900 meter.

Walaupun dibantu oleh triangulasi tanda seismik dari kedalaman letupannya, kapal selam tersebut mengambil masa setahun untuk ditemui.

Berapa lama kru boleh bertahan untuk hidup jika kapal selam tenggelam?

Berapa lama kru dapat bertahan adalah bergantung pada berapa lama mereka telah menjalankan tugas di dalam kapal selam itu dan tahap kesiapsiagaan mereka apabila kapal selam tidak berfungsi.

Kru juga sememangnya telah dilengkapkan dengan latihan di mana jika mereka terperangkap, mereka perlu memperlahankan kadar pernafasan untuk menjimatkan oksigen.

Mereka juga berkemungkinan akan diberi peringatan untuk kurangkan melakukan aktiviti dan bercakap bagi tujuan menjimatkan oksigen.

Keadaan di dalam kapal selam itu yang cenderung untuk sejuk dan lembap mungkin memberi kesan buruk kepada semangat mereka tetapi pegawai yang berada di dalamnya akan terlatih dan berdisiplin.

Risiko kekurangan oksigen

Dengan kemungkinan kekurangan oksigen dan penambahan karbon monoksida, mati lemas adalah menjadi risiko utama bagi individu yang berada di dalam kapal selam.

Oksigen boleh dibekalkan sama ada melalui tabung atau generator yang melakukan proses yang disebut ‘elektrolisis’ yang secara efektif memisahkan komponen seperti air dan oksigen.

Walau bagaimanapun, kekurangan kuasa akan menghalang proses ini dan bekalan secara beransur-ansur akan habis.

Beralih kepada KRI Nanggala, pakar mengatakan bahawa kedalaman 700 meter adalah terlalu dalam untuk peralatan penyelamat. Tetapi ada prosedur antarabangsa yang dikembangkan dengan baik untuk memberikan bantuan jika terjadi sebarang kemalangan pada kapal selam.

Dengan segala usaha yang dilakukan oleh pihak tentera laut, semoga masih ada keajaiban dan semua kru masih boleh diselamatkan.

Jika anda ingin ketahui lebih lanjut mengenai sedalam mana sesebuah kapal selam boleh melakukan selaman, anda boleh menonton video di bawah ini.

Sumber: CBS News, Howstuffworks, BBC, The Conversation

Sofea

There's always another side to every story