Siakap Keli

Gugurnya 53 Awak KRI Nanggala: Baju Keselamatan, Sauh Antara Bahan Bukti Yang Ditemukan

Ketua Tentera Laut Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono menyatakan kapal selam KRI Nanggala 402 yang terputus hubungan sejak Rabu, (21/4) di perairan Bali kini sudah dikenal pasti di kedalaman 838 meter di bawah permukaan laut.

Sidang media hari ini daripada Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto turut memberitahu kesemua 53 anak kapal KRI Nanggala 402 disahkan telah meninggal dunia.

“Dengan kesedihan yang mendalam selaku Panglima TNI saya nyatakan bahawa 53 personel yang ada di KRI Nanggala 402 telah gugur. Parajurit terbaik Hiu Kencana telah gugur saat melaksanakan tugas di perairan Utara Bali.” kata Hadi.

Sementara itu, beberapa bukti ditemukan antaranya kemudi vertikal belakang, bahagian luar badan kapal, dan termasuk baju keselamatan awak kapal.

“Telah disahkan sebahagian dari KRI Nanggala 402 telah ditemukan meliputi kemudi vertikal belakang, bahagian luar badan, sauh, enjin selam timbul, bahagian kapal lain termasuk baju keselamatan awak kapal MK-11,” kata Hadi ketika sesi sidang media petang tadi.

Dalam pada itu, Laksamana Yudo memaklumkan KRI Nanggala berjaya ditemukan melalui Kapal Bantu Angkatan Laut Indonesia (KRI Rigel) dan MV Swift Rescue Singapura di kedalaman 838 meter.

Sumber: Kumparan News

Nur Farra