Kementerian Pertahanan Indonesia memberi jaminan bahawa kapal pengangkut pesawat pertama negara itu, KRI Sriwijaya-100, bersedia memberikan sokongan bagi operasi ketenteraan bukan tempur, khususnya ketika menghadapi bencana.
Ketua Pejabat Penerangan kementerian itu, Brigadier Jeneral Rico Sirait berkata, kehadiran kapal berkenaan amat penting memandangkan Indonesia mempunyai wilayah maritim yang luas serta berdepan risiko bencana alam yang tinggi.
Menurutnya, KRI Sriwijaya-100 berupaya memastikan penghantaran bekalan kecemasan dan penempatan anggota bantuan dapat dilaksanakan dengan pantas tanpa gangguan, termasuk ketika laluan darat terputus akibat bencana.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, 17 Oktober.
Rico menjelaskan, kapal sepanjang 180 meter dengan berat benaman 12,000 tan itu juga boleh berfungsi sebagai pangkalan udara terapung untuk pelbagai jenis helikopter dan dron ketika belayar.
Katanya, keupayaan tersebut dapat mengurangkan kebergantungan Indonesia terhadap kemudahan berasaskan darat ketika melaksanakan operasi bantuan bencana.
“Keupayaan ini penting bagi Indonesia sebagai sebuah negara yang mempunyai wilayah maritim luas, ribuan pulau dan risiko bencana alam yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan berhasrat menggunakan kapal berkenaan untuk menyokong misi kemanusiaan di seluruh kepulauan Indonesia, termasuk penghantaran bekalan berskala besar, pemindahan mangsa bencana, operasi perubatan dan bantuan kecemasan di kawasan terpencil yang sukar diakses.
Selain memperkukuh keupayaan maritim dan kemanusiaan tentera, kapal itu juga dijangka menjadi simbol peningkatan keupayaan Indonesia untuk berdikari dalam sektor pertahanan.
Rico berkata, penggunaan sumber dan kepakaran tempatan dalam kerja penyelenggaraan serta pengubahsuaian kapal berkenaan diberi keutamaan sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk mempercepat pembangunan teknologi dan industri pertahanan negara.
Beliau yakin KRI Sriwijaya-100 akan memberikan sumbangan besar dalam memperkukuh keupayaan pertahanan Indonesia serta meningkatkan kesiapsiagaan negara itu dalam menghadapi bencana dan melaksanakan misi kemanusiaan.

