Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan penghargaan atas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Menurut Siti Nurhaliza Tarudin, 47, kehadiran Anwar mencerminkan sokongan kerajaan terhadap usaha anak seni mengangkat martabat lagu tradisional tempatan.
Katanya, konsert berkenaan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk menyemai kecintaan masyarakat terhadap seni budaya dan warisan serantau.
“Terima kasih PMX kerana hadir menyokong usaha kami anak seni yang menaikkan martabat lagu tradisional.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi ingin mengajak semua menghayati indahnya budaya dan jati diri kita terhadap seni budaya Melayu, Cina dan India serta senusantara,” katanya menerusi hantaran InstaStory hari ini.
Mengulas lanjut, Siti berkata, irama tradisional perlu terus dipelihara agar tidak tenggelam dalam arus pemodenan dan kemunculan pelbagai genre muzik baharu.
Ujarnya, keindahan seni tradisional terletak pada keupayaannya menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan bangsa.
“Seni ini sangat indah kerana menyatukan semua tak kira latar belakang dan bangsa manakala irama tradisional kita begitu indah tidak kalah dengan melodi moden yang menjadi ikutan semasa.
“Berbanggalah kita masih mampu mengekalkan seni budaya kita dan terus kekal walaupun pelbagai muzik muncul mengambil tempat di hati peminat seni,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan karya tempatan terus mendapat tempat dan dihargai oleh generasi akan datang.
Menurutnya, sokongan kerajaan terhadap industri seni kreatif amat penting untuk mengangkat martabat seni negara ke peringkat lebih tinggi.
“Sokongan pihak kerajaan amatlah saya hargai untuk menjadikan industri seni kreatif negara diangkat hingga ke peringkat tertinggi.
“Jika irama tradisional dimainkan di setiap corong radio kerajaan atau swasta, pasti terus kekal serta malar segar sampai bila-bila.
“Terima kasih PMX, terima kasih semua,” jelasnya.

Terdahulu, Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung semalam dilaporkan menghimpunkan kira-kira 63,000 penonton, sekali gus menjadikannya antara konsert yang mengangkat irama tradisional terbesar dalam sejarah industri seni tanah air.
Konsert berkenaan turut menampilkan empat penyanyi jemputan yang berduet bersama Siti, iaitu Noraniza Idris, Haziq Rosevi, King Nassar dan Lesti Kejora.

