Siakap Keli

Mungkin Ramai Tak Tahu, Ini Makna Mendalam Bila Sesebuah Kapal Selam Diisytihar “On Eternal Patrol”

Kejadian yang menimpa KRI Nanggala 402 dan 53 krunya yang diisytihar terkorban nyata memberi kesan kepada seluruh dunia yang mengikuti tragedi melibatkan kapal selam milik Tentera Nasional Indonesia ini.

Walaupun rata-rata daripada kita tidakpun mempunyai hubungan secara peribadi dengan perajurit-perajurit yang terkorban itu, namun apa yang terjadi terasa seakan-akan dekat dengan kita semua.

Seperti yang diketahui, sebelum kapal selam itu disahkan berada pada kedalaman 838 meter di bawah permukaan laut dan terbelah tiga, status bagi kapal itu telah dinyatakan sebagai on eternal patrol.

Gambar Via Kumparan

Kalau ikutkan maksud secara literal, ia boleh diistilahkan sebagai ‘rondaan abadi’. Tetapi, apakah maksud tersirat dan sejarah yang terkandung pada status tersebut? Mungkin penjelasan di bawah ini boleh merungkai persoalan tersebut.

Bermula sejak Perang Dunia Kedua lagi, Penganalisis Utama Lab-45 yang juga pemerhati pertahanan, Andi Widjajanto menjelaskan bahawa  kapal selam biasanya melakukan rondaan perang (War Patrol) untuk memastikan tidak ada kapal perang musuh yang mengancam konvoi kapal perang permukaan. Mereka juga ditugaskan untuk melumpuhkan kapal perang musuh.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, kapal selam terutama yang berkuasa nuklear bertugas untuk menangkis ancaman serangan pasukan lawan atau disebut sebagai deterrent patrol.

“Ia menyediakan kemampuan serangan balas nuklear (second strike) dengan strategi mobiliti yang tinggi. Rondaan tersebut dapat dilakukan oleh kapal selam nuklear secara senyap selama berbulan-bulan dengan hubungan minimum dengan markas Angkatan Laut,” kata Andi.

Tidak pulang ke markas

Menurutnya, tempoh rondaan dikira dari saat kapal selam berlepas dari pangkalan Angkatan Laut hingga kapal selam itu kembali ke pangkalan. Apabila kapal selam yang bertugas mengalami kemalangan dan tidak kembali ke markas, ia disebut sebagai on eternal patrol.

Ketika kapal selam mengalami kemalangan (bukan kerana ditembak musuh), ada tiga sebab utama iaitu perlanggaran, letupan dalam dan retak serta dinyatakan sebagai subsunk (tenggelam). Bagi yang tidak kembali ke pangkalan, status eternal patrol diberikan kepada kapal selam- Andi

Maknanya, semua kru kapal diisytiharkan sebagai ‘terus menjalankan tugas’ di bawah laut buat selama-lamanya untuk melindungi kedaulatan negara tercinta masing-masing secara abadi.

Artikel yang ditulis oleh Harold C Hutchinson di portal We Are The Mighty pula mengatakan bahawa istilah eternal patrol ini terus digunakan selepas Perang Dunia Kedua tamat.

Untuk rekod, Amerika Syarikat juga pernah menghadapi kehilangan empat kapal selam yang juga diberikan status eternal patrol. Antaranya ialah kapal selam bertenaga nuklear, USS Thresher pada tahun 1963.

Ia dicatatkan sebagai musibah kapal selam terburuk yang mengakibatkan 129 kru kapal selam meninggal dunia.

Gambar Via The Moscow Times

Tidak cuma itu, salah satu kemalangan kapal selam yang paling diingati ialah yang berlaku di Rusia. Kapal selam Kursk itu dilaporkan meletup ketika dalam perjalanan menuju ke Laut Barents dan tenggelam pada 12 Ogos 2000. Kisah itu juga diabadikan di dalam filem pada tahun 2018.

Sumber: Kumparan

BACA: Raya Tahun Ini Tak Meriah Kalau Tak Beli 7 Barang Elektrik Yang Tengah ‘Hit’ Ni Sekarang

Sofea

There's always another side to every story