Siakap Keli
Kredit: BERNAMA

Luahan Pembaca: “Saya Sedar Saya Susah, Tapi Tidak Akan Sesekali Saya Wariskan Susah Ini Pada Anak,” Luahan Ibu Tentang Tutup Sekolah

Kalau korang masih ingat lagi, pada minggu lepas Siakap Keli (SK) ada menerima surat kiriman luahan daripada pembaca setia. Kedua-dua surat berkenaan menceritakan luahan kebimbangan mereka terhadap isu pendidikan negara kini.

Wabak COVID-19 kan kembali ‘mengganas’, sudah tentu banyak sektor sekarang berada dalam bahaya termasuklah institusi pendidikan. Jangankan pelajar universiti, adik-adik sekolah rendah pun terdedah dengan ancaman ini.

Tapi di sebalik ancaman ini, timbul ura-ura daripada segelintir lidah awam yang mengatakan sekolah akan ditutup semula kerana didakwa berisiko tinggi menjadi pusat kluster wabak dan alternatifnya adalah kembali berPDPR di rumah. Betul ke?

Sama ada benar atau tidak, kita sendiri belum tahu lagi apa jawapannya. Tapi surat luahan pembaca terkini yang kami terima baru-baru ini memang agak menjentik akal jugalah.

Dulu, luahan daripada bekas pelajar universiti lulusan bidang pendidikan. Kemudian hadir pula seorang ayah yang dipercayai daripada golongan M40 luahkan rasa. Kali ini, seorang ibu tunggal anak lima yang juga peniaga kuih di kampung. Dia pun ada pandangannya tersendiri tentang isu penutupan sekolah ini.

Jom ikuti luahan di bawah ini.

Luahan pembaca:

Assalamualaikum siakap keli, saya rozita dari kedah. Saya merupakan ibu tunggal kematian suami serta ibu kepada lima orang anak yang masih bersekolah. Tanpa suami, saya menyara keluarga hanya dengan berniaga kuih pada setiap pagi. Pendapatan tidaklah tinggi, sekadar cukup-cukup makan enam beranak. Pendidikan tertinggi saya hanya spm, namun saya sangat gemar mengambil tahu isu semasa melalui tv dan telefon. Hari itu saya ada terbaca tulisan tentang luahan seseorang yang tidak bersetuju sekolah anaknya ditutup ketika covid ini.

Untuk pengetahuan,  anak-anak saya semuanya bersekolah, dua di sekolah menengah dan tiga di sekolah rendah. Ketika mereka menjalani kelas online di rumah sebelum ni, waktu itu sangat mencabar bagi saya. Kami bukan orang senang, jadi untuk memiliki telefon bimbit itu bukan sesuatu yang mudah. Saya sendiri pun guna telefon model lama yang dibeli arwah suami 3 tahun dulu, masih lagi hidup cuma agak ketinggalan kemampuannya. Namun telefon itulah satu-satunya alatan kelas online yang anak-anak saya gunakan secara berkongsi.

Saya bukan kedekut untuk keluarkan wang simpanan sendiri demi mereka. Namun macam saya cakap tadi, pendapatan niaga kuih saya hanya cukup-cukup makan. Rumah pun menyewa, kenderaan hanya sebuah kereta lama peninggalan arwah suami. Setiap kali lepas balik berniaga, saya akan asingkan duit untuk pusing modal, simpanan tabung anak, belanja barang dapur dan kemudian barulah kira untung yang tidak berapa banyak.

Apabila dua anak saya yang bersekolah menengah menggunakannya, mereka terpaksa bergilir-gilir. Sama juga keadaannya dengan tiga lagi anak yang bersekolah rendah. Internet pun saya beli sedikit-sedikit, cuma line di rumah ini kadang-kadang perlahan. Apabila lima orang menggunakan satu telefon dalam satu masa yang sama, telefon itu jadi lambat dan panas. Mana tidaknya, telefon lama. Kesian saya lihat anak-anak.

Rumah kami tidaklah besar mana. Anak-anak semua buat kerja sekolah mereka dan kelas online di meja makan di ruang tamu.  Situlah tempat paling sesuai sebab bilik mereka sempit. Walaupun berniaga di depan rumah setiap pagi, tapi saya masak di dapur. Memang kadang-kadang bising dan suasana sibuk. Ada waktunya anak saya macam terganggu fokus mereka dengan nak fokus kelas, line internet tidak laju. Sebagai ibu, saya rasa bersalah sebab gagal dua hal, gagal sediakan ruang belajar khas mereka dan gagal belikan telefon baik untuk mereka.

Saya memang boleh pantau mereka setiap masa. Sebab jarak dapur dan meja belajar mereka di ruang tamu hanya sebelah-sebelah. Tapi apakan daya, saya bukan orang pandai. Belajar tak tinggi. Bukan semua subjek anak-anak saya betul-betul faham. Kalau di sekolah, mereka ada cikgu. Tidak faham boleh terus tanya. Saya? Sekali lagi saya rasa rasa bersalah dan gagal sebab tidak mampu beri ilmu sebetulnya pada anak. Saya mampu tanggung ikut kudrat saya selagi mampu, tapi ilmu-ilmu ini biarlah cikgu di sekolah. Mereka jauh lebih layak. Saya sedar dan akui kekurangan saya.

Saya pernah terbaca di facebook orang kata kalau di sekolah ini murid-murid akan dipantau setiap masa. Ada sop. Saya suka kalau macam itu. Bukan saya tidak suka kalau anak belajar di rumah, tapi macam saya kata tadi, lebih baik anak-anak ini belajar di sekolah. Ada cikgu yang mengajar. Ada meja sendiri, ada buku rujukan, ada perpustakaan. Lagi terjamin ilmu mereka berbanding rumah kecil dan sempit yang kami tinggal ni. Soal virus di sekolah, saya yakin rasanya sekolah sudah amalkan sop betul-betul.

Terus terang saya kata, walaupun kami hidup sederhana tapi nyawa anak-anak tak pernah saya abaikan. Dalam tv selalu sebut sop, penting. Setiap kali ada untung lebih, saya mesti beli topeng muka sekotak buat pakai anak beranak. Anak-anak pun dah sedar pasal bahaya wabak ini sebab sudah lama di rumah kan. Jadi saya rasa, mereka boleh berdikari jaga diri sendiri di sekolah dengan sop yang ada. Saya mungkin ibu yang kurang harta, tapi bukan kurang jiwa. Nyawa anak-anak adalah nyawa saya juga. Mujur mereka semua faham tentang wabak ini.

Begitulah pandangan saya sebagai seorang ibu. Saya sedar saya susah, tapi tidak akan sesekali saya wariskan susah ini pada anak. Biarlah mereka ke sekolah macam biasa. Saya taknak segala kekurangan di rumah ini buatkan mereka lemah semangat nak belajar. Mereka kena keluar, berdikari hadapi hidup di dunia luar atas kaki sendiri. Saya yakin, anak saya boleh. Harap anak-anak saya boleh terus belajar di sekolah, tidak perlu kembali kelas online di rumah. Maaf kalau tulis panjang. Saya minat menulis sejak kecil, hobi saya membaca novel namun tiada rezeki untuk belajar tinggi. Terima kasih.

Yang benar,
Rozita.

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.