Siakap Keli
Gambar: Google

Serpihan Roket China: Pakar Jelaskan Apa Yang Mungkin Berlaku Jika Ia ‘Jatuh’ Ke Bumi

“Kemungkinan untuk ia (roket) menyebabkan mudarat kepada aktiviti penerbangan atau di daratan adalah teramat rendah,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Wang Wenbin pada Jumaat.

Sementara itu, ahli astrofizik di Pusat Astrofizik Universiti Harvard, Jonathan McDowell berkata, kebarangkalian besar untuk serpihan roket itu jatuh ke lautan adalah lebih besar kerana ia menyelaputi 71 peratus daripada muka bumi.

Bagaimanapun menurut The Guardian, kelajuan serta pergerakan objek 20 tan yang berada di luar kawalan itu membuatkan masa dan lokasi pendaratan dijangka berlaku menjadi sukar diramal.

Malah, pada hujung minggu ini, altitud pergerakan objek tersebut dilaporkan berkurang hampir 80km lebih rendah berbanding sebelumnya.

Berdasarkan pergerakan roket itu mengorbit bumi, ia melintasi kawasan-kawasan di utara seperti New York, Madrid, Beijing. Ia turut melalui bahagian selatan seperti Chile dan New Zealand, memungkinkannya mendarat di kawasan antara dua latitud tersebut.

Apa akan berlaku sebaik sahaja ia masuk ke atmosfera bumi?

Sehingga kini, serpihan roket itu masih berada di orbit bumi rendah atau dikenali sebagai Low Earth Orbit (LEO). Bagaimanapun, altitud orbit objek berkenaan semakin berkurang dari masa ke masa, tulis BBC.

“Daya geseran atmosfera akan menyebabkan objek kehilangan altitud, menariknya turun ke bahagian atmosfera yang lebih tumpat, yang mana akan menambah lebih banyak daya geseran serta mengurangkan kelajuan dan altitud,” kata Jason Herrin dari Earth Observatory Singapore.

Jelasnya, sebaik sahaja ia masuk ke ruang atmosfera yang lebih tumpat, daya geseran akan terus bertambah, membuatkan ia semakin berkurang altitud dan kelajuan.

“Sebaik sahaja proses ini berlaku, objek akan terus terjunam,” katanya.

Roket itu dijangka akan terbakar apabila memasuki ruang atmosfera yang tumpat. Bahagian yang tidak terbakar sepenuhnya akan kekal dan jatuh ke Bumi.

Jika ini terjadi di luar kawalan, lokasi di mana ia terbakar dan terjatuh tidak dapat dikawal mahupun diramal.

Tahun lalu, pelancaran Long March5B juga dilaporkan telah menyebabkan kemasukan serpihan secara tidak terkawal, menyebabkan sebahagian serpihan jatuh di bahagian pedalaman di Ivory Coast.

“Ia berpotensi menjadi tidak baik,” kata Jonathan McDowell.

“Sebelum ini mereka lancarkan Long March 5B roket dan berakhir dengan batang logam yang panjang dan besar berterbangan di langit dan merosakkan beberapa bangunan di Ivory Coast,” katanya.

“Sebahagian besar daripada objek itu terbakar, tapi ada beberapa serpihan besi besar yang jatuh ke bumi. Kita bernasib baik tiada yang cedera.”

Jelasnya, ada bahagian daripada roket yang akan terus kekal dan ia akan menjadi “setara dengan nahas pesawat kecil yang tersebar lebih dari 100 batu” (jika terhempas).

Sejak 1990, tiada objek melebihi 10 tan yang sengaja dibiarkan di orbit untuk memasuki semula Bumi tanpa kawalan. Namun, teras Long March 5B ini dijangka menjadi salah satu objek terbesar yang akan masuk ke ke bumi.

Kemaskini: Serpihan roket berkenaan dilaporkan telah terhempas di Lautan Hindi berhampiran kepulauan Maldives. Baca di sini.

Sumber: The Guardian (1) (2), BBC

BACA: Anda Boleh Dapat Bekalan Runcit Percuma Selama 6 Bulan, Ini Caranya

BACA: Produk Elektrik Berkualiti ‘Harga Kayangan’? Jangan Risau, Guna ‘Trik’ Ini

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.