Siakap Keli
Gambar Via Screen Mix

Sempat Beri Hadiah Buat Anak Murid, Tular Gambar Pilu Pemuda Palestin Dipercayai Diambil Tiga Jam Sebelum Dia Terbunuh

Semalam, Israel dilaporkan telah melancarkan serangan udara di seluruh Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas. Hamas sebelum itu mengaku serangan roket ke arah Israel itu sebagai tindak balas terhadap ketegangan yang berlaku di persekitaran Masjid Aqsa di Baitulmuqadis.

Serangan balas oleh Israel itu menyaksikan puluhan orang awam termasuk kanak-kanak dilapor terbunuh dan cedera parah. Antara yang menjadi korban serangan udara tersebut adalah seorang pemuda di Palestin yang dikenali sebagai Ibrahim Al-Shanbari.

Kematiannya menjadi tular di Twitter apabila satu gambar memaparkan Allahyarham sedang mengagihkan hadiah kepada kanak-kanak di dalam masjid.

Menerusi satu kiriman di Twitter, gambar itu diambil tiga jam sebelum Ibrahim meninggal dunia. Jelas ciapan itu lagi, kanak-kanak di dalam gambar itu merupakan para pelajar kepada Ibrahim.

Allahyarham dipercayai memberikan hadiah sempena hari raya Aidilfitri dan juga kerana para pelajarnya itu berjaya menghafal Al-quran.

Warganet dari seluruh dunia membanjiri ciapan tersebut dengan ucapan takziah dan mereka turut meluahkan rasa sebak atas kematian Ibrahim.

Sumber: Screen Mix

Sofea

There's always another side to every story