Siakap Keli
Gambar: Bernama

CITF Tambah Baik Kemudahan Susulan Kesesakan Di PPV Stadium Titiwangsa

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan menambah baik kemudahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa, di sini susulan kesesakan di lokasi itu hari ini.

CITF berkata bagi menangani isu itu pihaknya mengambil keputusan untuk menambah empat khemah menunggu serta 500 kerusi  dengan secepat mungkin.

“Kesesakan itu terjadi kerana laluan kenderaan masuk ke kawasan tersebut agak kecil, selain bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu bagi mereka yang hadir mendapatkan imunisasi agak terhad,”  menurut  CITF dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya kapasiti PPV seramai 1,600 sehari ditambah dengan bilangan pengiring menyebabkan jumlah orang ramai yang berada di lokasi adalah berganda dalam satu-satu masa.

Selain itu, keadaan bertambah buruk apabila hujan menyebabkan kenderaan yang menghantar penerima vaksin terpaksa menghentikan kenderaan masing-masing berdekatan dengan pintu masuk PPV.

“CITF memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan masalah kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa dan akan sentiasa menambah baik perkhidmatan kami dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right