Siakap Keli
Gambar: Mothership

(Video) Ingatkan Pencuri, Dua Pekerja Terkejut Bunyi Bising Dari Tandas Rupanya Ular Sawa 5 Meter Tengah ‘Bersantai’

Seekor ular sawa berukuran 5 meter telah membuat ‘lawatan’ mengejut dalam sebuah tandas di sebuah kedai kopi di Kranji, Singapore. Kejadian itu berlaku pada awal pagi Sabtu lalu (15 Mei 2021), lapor portal Mothership.

Kehadiran reptilia tersebut telah mengejutkan dua orang staf kedai yang bekerja semalaman dan mereka terpaksa meminta pertolongan.

Video ular tersebut telah tular di Facebook.

Lianhee Wanbao telah melaporkan dalam suatu portal bahawa kedua-dua staf itu bekerja hingga larut malam. Hal ini kerana mereka sedang membuat persiapan bagi sekatan Covid-19 yang ditetapkan pada hari Ahad.

Menurut sumber, pada jam 1 pagi, kedua-duanya tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu dari tandas walhal kedai itu telah tutup pada hari itu.

Mengesyaki mungkin pencuri, mereka menuju ke tandas namun apa yang didapati ialah seekor ular sawa yang berada di sana.

Berdasarkan kejadian itu, laporan media China tidak mendedahkan sama ada ular tersebut masuk ke premis kedai itu melalui sistem kumbahan atau celah tingkap yang terbuka.

Malah, kedai kopi tersebut tidak disebutkan sama ada berada dekat dengan kawasan hutan atau tidak.

Jelas sumber, Wanbao melaporkan bahawa kedua-dua staf itu bingung untuk melakukan apa-apa pada ketika itu. Maka, salah seorang daripadanya mengambil video dan memuat naik di Facebook.

Disebabkan video itu, ada yang menyarankan agar mereka meminta pertolongan dari ACRES, iaitu ‘Animal Concerns Research and Education Society‘.

Namun, ACRES mengatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang panggilan untuk meminta bantuan. Jadi, berdasarkan laporan itu, dapat diandaikan bahawa ular itu berjaya keluar dengan sendirinya.

Sumber: Mothership

Nurul Nabila