Kalau sekali pandang, mungkin ramai menyangka beberapa poster yang dipamerkan di Institut Jantung Negara (IJN) merupakan bahan promosi filem baharu.
Mana tidaknya, setiap poster tampil dengan reka bentuk dramatik, pemilihan warna menarik dan susunan karakter yang cukup mirip bahan pemasaran filem.
Namun, poster yang kelihatan seperti mempromosikan filem aksi, thriller dan fiksyen sains itu sebenarnya membawa mesej berkaitan perkhidmatan kesihatan yang disediakan di hospital berkenaan.
Perkara itu mencuri perhatian pengguna Threads @ruzannaaniza, yang berkongsi beberapa gambar poster berkenaan menerusi satu hantaran.
“Posters at IJN inspired by movies! Love ittt!” tulisnya.
Ingatkan Poster Filem, Setiap Poster Ada Tarikan Tersendiri

Menerusi gambar yang dikongsikan, terdapat beberapa poster dengan konsep visual berbeza yang menghiasi ruang IJN.
Antaranya ialah poster 'Fight The Obesity' yang menggunakan konsep filem seni mempertahankan diri seperti Kung Fu Panda.
Poster berlatar belakang merah dan jingga itu menampilkan seorang lelaki berbaju seni mempertahankan diri dalam posisi seperti sedang bersedia untuk bertarung.
Dengan penggunaan tulisan berwarna kuning dan merah, reka bentuknya memberikan gambaran seperti poster filem aksi kung fu dan kempen memerangi obesiti kelihatan lebih dramatik.
Namun, di sebalik gaya seperti poster filem itu, mesej yang ingin disampaikan cukup jelas iaitu menggalakkan orang ramai mengambil langkah menjaga kesihatan melalui pelan pemakanan dan gaya hidup lebih sihat.
Seorang pengguna Threads turut berkongsi pengalamannya ketika pertama kali melihat poster berkenaan, malah berseloroh bahawa dia seolah-olah menjadi sasaran sindiran poster tersebut.
“One time I walked past the Kung Fu Panda one and went eh, dia perli kita…” kata pengguna itu.

Selain itu, poster 'Pusat Jantung Kongenital dan Pediatrik' pula tampil dengan konsep ala-ala filem Barbie, menerusi penggunaan warna merah jambu terang, angka sembilan bersaiz besar serta dua kanak-kanak sebagai tarikan utama.
Reka bentuknya yang ceria dan berwarna-warni pastinya menarik perhatian kanak-kanak, malah membuatkan poster berkenaan kelihatan lebih mesra dan menyeronokkan untuk golongan kecil yang berkunjung ke IJN.

Sementara itu, poster 'Institut Jantung Negara' pula seakan-akan mengambil inspirasi daripada poster filem Indiana Jones, menerusi penggunaan warna kuning keemasan, susunan karakter dan visual dramatik yang memberikan suasana pengembaraan.
Bezanya, watak utama kali ini bukan pengembara yang mencari harta karun, sebaliknya doktor dan pasukan perubatan yang berjuang menyelamatkan nyawa.
Kreatif Sampaikan Mesej, Poster Kesihatan Pun Boleh Jadi Perhatian
Pendekatan kreatif seperti ini membuktikan bahan pendidikan kesihatan tidak semestinya perlu disampaikan melalui poster yang terlalu formal atau dipenuhi fakta semata-mata.
Sebaliknya, penggunaan konsep yang dekat dengan dunia hiburan boleh menjadikan sesuatu mesej lebih mudah menarik perhatian.
Ini juga antara cara untuk mendorong orang ramai untuk berhenti seketika dan membaca maklumat yang disampaikan.
Tidak hairanlah poster-poster berkenaan berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial kerana siapa sangka, ketika berada di hospital, pengunjung boleh menemui bahan promosi kesihatan dengan gaya seakan-akan sedang melihat barisan filem di pawagam.
Nampaknya, IJN bukan sahaja kreatif dalam menyampaikan mesej kesihatan, malah berjaya membuktikan bahawa poster kesihatan juga boleh tampil dengan gaya luar biasa.

