Siakap Keli
Gambar: Mirror.co.uk

Dengar Bunyi Bising Dari Dapur, Keluarga Ini Terkejut Temui Ular ‘Gergasi’ Dengan 100 Gigi Seberat 8kg

Steve Brown, seorang pakar telah menggunakan pengering rambut dan sehelai plastik untuk menangkap ular raksasa di Brisbane, Australia baru-baru ini. Ular tersebut berukuran tiga meter dan beratnya pula ialah 8kg, lapor portal Mirror.

Ketika kejadian, tuan rumah yang sedang menonton televisyen itu terdengar suara ular sawa karpet sedang membuat ‘bising’. Maka, Steve Brown, pakar penangkap ular dipanggil datang ke kediaman mereka setelah menemui ular dengan 100 gigi itu berada di siling dapur.

Jelas sumber, Steve dari Brisbane North Snake Catchers and Relocation mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk beroperasi sebelum akhirnya dilepaskan ke kawasan semak berhampiran.

Katanya pada Daily Mail Australia, “Tuan rumah sedang menonton TV lalu terdengar suatu bunyi. Sewaktu mereka periksa bunyi itu, ternyata datang daripada reptilia itu.”

Tambah Steve, “Saya mengeluarkan ular itu dengan cara mencucuk dan mendorongnya dengan sehelai plastik dan pengering rambut. Pengering rambut itu telah menghangatkan kawasan itu dan menyebabkannya bergerak dan melepaskan diri.”

Menurut pakar ini, spesies itu tidak berbisa dan tidak agresif tetapi memberi amaran bahawa ular ini akan mempertahankan diri jika ia berasa terancam.

“Walaupun tidak berbisa, gigitan salah satu dari ular ini dengan ukuran sebegitu boleh menyebabkan beberapa kecederaan kerana ia mempunyai hampir 100 gigi,” kata Steve.

Spesies ini terdapat di sekitar kawasan Brisbane yang lebih besar, ia sering tinggal di bumbung untuk memakan tikus. Jelas portal, ular yang bersaiz lebih besar boleh tumbuh hingga empat meter dan boleh memakan anjing, kucing dan burung.

Steve kerap memuat naik gambar tangkapannya di Facebook dan telah menerima ratusan tanda suka dan komen. Bercakap mengenai ular yang sedang memburu makanan itu baru-baru ini, ada yang memberi komen: “Pada ukuran itu, dia lebih baik membayar pajak gadai/sewa. Itu teman sebilik.”

Sumber: Mirror.co.uk

Nurul Nabila