Siakap Keli
Gambar: BBC

Gagal Juarai La Liga, Zidane Tinggalkan Real Madrid

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane dilapor meletak jawatan serta-merta selepas kelab bimbingannya gagal merangkul juara LA Liga untuk sesi ini.

Ini berikutan Real Madrid gagal mendapat tempat teratas pada perlawanan terakhir liga apabila ketinggalan dua mata di belakang Atletico Madrid.

Bagaimanapun, pengurusan kelab dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka menerima keputusan Zidane itu dengan hati terbuka dan menyambutnya dengan hormat.

“Kami menghormati keputusannya dan menghargai segala profesionalisme, dedikasi dan minat yang beliau curahkan bertahun-tahun untuk Real Madrid.

“Zidane adalah seorang ikon terbaik Real Madrid dan legasinya pasti berterusan mengikut apa yang pernah dicapainya sepanjang bergelar jurulatih dan pemain. Dia akan sentiasa ada dalam hati peminat Real Madrid dan sentiasa ada di ‘sini’,” maklum kenyataan tersebut.

Perlawanan terakhir LA Liga hari ini menyaksikan Real Madrid menang 2-1 ke atas Villarreal dan Atletico Madrid turut menang 2-1 menentang Valladolid.

Bagaimanapun kemenangan terakhir kelab gergasi Sepanyol itu ternyata sia-sia kerana hanya mampu mengumpulkan 84 mata saja, ketinggalan dua mata di bawah Atletico Madrid, 86 mata.

Manakala seteru utamanya, Barcelona pula hanya menduduki tempat ketiga liga dengan 79 mata terkumpul.

Bekas bintang legenda Perancis itu sebelum ini pernah meletakkan jawatannya sebagai pengurus Real Madrid pada Mei 2018 lalu, sebelum kembali mengemudi kelab ini 10 bulan kemudian.

Sumber: BBC / CNN / Real Madrid

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'