Siakap Keli
Gambar Via Arctic/National Geographic

(Video) Lebih 900,000 Biji Benih Tersimpan, Kenali Doomsday Vault, Bunker Simpanan Makanan Manusia Kononnya Untuk Berdepan Malapetaka Dunia

Betapa pentingnya sumber bekalan makanan di dunia ini. Jika berlaku sebarang bencana dan peperangan, manusia tidak akan mampu meneruskan hidup tanpa makanan yang mencukupi.

Disebabkan itu juga, makanan menjadi salah satu barangan utama yang disumbangkan kepada mangsa-mangsa di negara yang bergolak. Manakan tidak, semuanya sudah dihancurkan, yang tinggal hanya diri masing-masing yang perlu dilindungi.

Bayangkan jika berlakunya malapetaka atau bencana besar di dunia yang mungkin memusnahkan sumber bekalan makanan manusia? Di manakah manusia hendak mencari makanan? Mengambil kira situasi ini, sebuah bangunan yang menempatkan biji benih makanan telah dibina di sepanjang Lingkaran Artik iaitu di antara Norway dan Kutub Utara.

Svalbard Global Seed Vault atau lebih dikenali sebagai Doomsday Vault dikatakan menjadi sumber penting bagi masa depan manusia di dunia ini. Mari kita ‘selidiki’ fakta-fakta menarik mengenai Doomsday Vault ini.

1. Idea simpanan biji benih sejak tahun 1980

Gambar Via National Geographic

Langkah untuk melakukan simpanan tanaman global ini pertama kali dilancarkan pada tahun 1980 yang memperlihatkan Nordic Gene Bank telah menjadi penyimpan pertama.

Ia mula disimpan pada tahun 1984 di sebuah lombong terbengkalai yang jauh dari Spitsbergen. Ketika itu, ia tidak ada kaitan dengan Doomsday Vault yang dikenali hari ini.

‘Bank’ biji benih juga telah dibangunkan di beberapa negara lain pada waktu yang berlainan tetapi simpanan di Spitsbergen mengumpulkan sampel cadangan kerana dirancang untuk melindungi negara dari situasi yang agak mustahil untuk menggunakan rizab kerajaan.

2. Dibina sepanjang 100 meter di dalam gunung

Gambar Via National Geographic

Direka oleh arkitek dari Finland, Peter Soderman, bangunan yang secara rasmi dibuka pada 26 Februari 2008 ini meliputi kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi dan terletak 100 meter di dalam gunung. Pintu masuknya diperbuat daripada konkrit dan dihiasi dengan gentian optik yang dicipta oleh artis dari Norway, Dyveke Sanne.

Segitiga keluli juga turut digunakan kerana ia boleh memantulkan cahaya pada musim panas dan diterangi dengan bantuan kabel pada musim sejuk.

Gambar Via Arctic

Di dalam bangunan itu, terdapat bahagian yang dipanggil sebagai permafrost yang merupakan ruang di dalam batu di gunung itu. Suhu permafrost iaitu kira-kira -3.5 darjah Celcius tidak mencukupi untuk menyimpan biji. Disebabkan itu, sistem penyejukan dipasang di bangunan itu untuk menjaga suhu sekitar -18 darjah Celcius.

Elektrik di bangunan itu dibekalkan oleh stesen janakuasa yang terletak di Spitsbergen. Sekiranya berlaku kecemasan, generator akan mengekalkan suhu yang diperlukan sehingga petugas di bangunan itu datang.

Gambar Via Arctic

3. Lebih dari 930,000 jenis tanaman makanan disimpan

Dikatakan untuk menjadi kegunaan jika terjadi peristiwa malapetaka atau bencana global, Doomsday Vault ini menyimpan lebih dari 930,000 jenis tanaman makanan yang akan diagihkan kepada negara yang menyimpannya kelak.

Pun begitu, tidak semua benih diterima untuk penyimpanan tetapi hanya penting untuk tujuan agrobisnes dan kajian ilmiah seperti gandum, beras dan barli.

Biji benih diterima kira-kira tiga kali setahun dan dihantar dengan kapal terbang atau kapal.

Gambar Via Arctic

Ia akan dikeringkan terlebih dahulu dan dibungkus dalam bungkusan aluminium khas yang berukuran 60x40x28 sentimeter agar rak simpanan dapat menampung semuanya.

Setiap bungkusan pula boleh memuatkan kira-kira 500 biji dari satu jenis. Setelah itu, label yang menunjukkan penyimpan bagi biji benih itu akan disangkut pada kotak dan maklumat mengenai tempat bungkusan disimpan akan dimasukkan ke dalam pangkalan data NordGen.

Gambar Via Arctic

4. Biji benih dari pelbagai negara

Doomsday Vault ini bertanggungjawab menyimpan biji benih daripada pelbagai negara. Antaranya Kenya, Mexico, India, Peru, Germany, Colombia, Costa Rica, Zambia, Brazil, Australia dan Korea Utara.

Dalam sesetengah keadaan negara yang menghadapi kemelut peperangan seperti di Syria. Biji benih akan dihantar semula ke negara tersebut agar mereka dapat menyimpan sendiri biji benih itu selepas peperangan reda.

Negara yang menghantar biji benih di Doomsday Vault ini percaya bahawa ia menjadi tempat penyimpanan yang paling selamat. Biji benih yang disimpan di situ juga dianggap sangat penting kerana ia  menjadi back up untuk kelangsungan hidup di masa hadapan.

Sumber: VICE ImpactArctic.ru, National Geographic

Sofea

There's always another side to every story