Siakap Keli
Gambar Via Kumparan

‘Diserbu’ Gara-gara BTS Meal, 20 Cawangan McD Di Indonesia Terpaksa Ditutup Buat Sementara, Bimbang Jangkitan COVID-19

Dilancarkan di Malaysia pada bulan lalu, BTS Meal kini menjadi fenomena pula di Indonesia apabila orang ramai berkerumun untuk mendapatkan makanan tersebut.

Pun begitu, sambutan daripada orang ramai itu juga mencetuskan kebimbangan mengenai penularan jangkitan COVID-19.

Justeru, sebanyak 20 cawangan McDonald’s terpaksa ditutup sementara sebagai langkah untuk menjaga keselamatan pembeli.

Pengarah Komunikasi Bersekutu McDonald’s Indonesia, Sutji Lantyka mengatakan bahawa pihaknya hanya akan mengambil pesanan melalui platform pesanan makanan dalam talian sahaja. Ia bagi mengelakkan kebanjiran orang ramai.

Gambar Via Kompas.com

“Kami melakukannya bagi menghindari kerumunan orang ramai. Saya mendesak agar semua pihak menjaga dan mematuhi protokol kesihatan mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya lagi, pembeli tidak perlu bimbang kerana BTS Meal ini tidak hanya tersedia satu hari sahaja, sebaliknya ia boleh dibeli hingga bulan hadapan.

“Jadi, pelanggan tidak perlu terburu-buru dan bimbang jika makanan ini habis,” katanya.

Pemerintah Provinsi DKI Jakarta juga telah mendenda 32 cawangan restoran McDonald’s yang berada di wilayah Jakarta kerana menyebabkan kerumunan orang ramai semasa pelancaran promo menu BTS Meal.

Dari 32 cawangan yang didenda, 20 cawangan ditutup buat sementara dan 12 cawangan diberikan peringatan bertulis.

Sumber: Kompas.com

"