Siakap Keli
Gambar Via Google

Satu Lagi Pertambahan Kes Kematian Akibat Rabies Di Sarawak, Libatkan Lelaki Berusia 45 Tahun

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kematian kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang telah disahkan positif pada 11 Mei 2021.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, kes tersebut melibatkan seorang warganegara lelaki yang berumur 45 tahun yang tinggal di sebuah rumah pekerja kilang papan di Stapang, Selangau, Sarawak.

Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Sibu pada 6 Mei 2021 disebabkan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia.

Tidak cuma itu, beliau mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing berbeza milik rakan sekerjanya pada bulan Februari dan Mac 2021 di kawasan kilang papan tersebut.

“Beliau tidak mencuci luka di bahagian betis dan dagu dengan air yang mengalir dan sabun selama 15 minit dan tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing tersebut,” katanya menerusi kenyataan itu.

Pemilik telah membunuh kedua-dua ekor anjing tersebut tetapi tidak menyerahkan bangkainya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut.

Mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Sibu untuk rawatam pada 6 Mei 2021. Keadaan beliau semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal mulai 9 Mei 2021.

Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 10 Mei 2021.

Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 11 Mei 2021. Kes telah meninggal dunia pada 12 Mei 2021 jam 1:24 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di kalangan manusia di Sarawak untuk tahun 2021 adalah empat kes.

Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 35 dengan 33 kematian. Terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup namun dengan komplikasi neurologi yang teruk.

Sumber: Kenyataan Akhbar KP Kesihatan

Sofea

There's always another side to every story