Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

WHO Pantau Rapi Kes Kematian Pekerja Makmal Rusia, Punca Pneumonia Masih Disiasat

WHO pantau rapi kes kematian pekerja makmal
Kredit: AFP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus memantau laporan mengenai kematian seorang pekerja makmal di Institut Penyelidikan Antiplague Irkutsk di wilayah Irkutsk, Persekutuan Rusia.

Individu berkenaan meninggal dunia pada 2 Okt selepas dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru.

WHO pantau rapi kes kematian pekerja makmal

Laporan media pada peringkat awal mendakwa individu itu menghidap wabak pneumonik susulan kemungkinan berlaku pendedahan tidak sengaja di makmal.

Susulan laporan berkenaan, WHO mengemukakan permintaan pengesahan kepada pihak berkuasa Rusia di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR).

Pihak berkuasa kesihatan Rusia kemudian memaklumkan bahawa tiada kes wabak dilaporkan baru-baru ini di wilayah Irkutsk.

Menurut WHO, siasatan epidemiologi telah dijalankan dan langkah pencegahan serta kawalan turut dilaksanakan.

Individu yang dikenal pasti sebagai kontak ditempatkan di bawah pemantauan perubatan dan menjalani ujian, manakala pihak berkuasa Rusia melaporkan tiada patogen berisiko tinggi dikesan dalam kalangan mereka.

Pemantauan perubatan terhadap semua kontak yang dikenal pasti juga telah selesai.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata WHO terus berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan menawarkan sokongan teknikal.

“WHO telah meminta maklumat lanjut untuk menjelaskan punca radang paru-paru, patogen yang mendorong langkah kesihatan awam serta laporan mengenai seorang lagi pekerja yang mengalami radang paru-paru dengan punca yang belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial semalam.

Beliau berkata WHO masih memerlukan maklumat lanjut bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kejadian berkenaan.

Tedros turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat yang tepat pada masanya, lengkap dan telus di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa.

“Perkongsian maklumat yang tepat pada masanya, lengkap dan telus adalah penting bagi menjelaskan laporan yang bercanggah serta membolehkan penilaian tepat terhadap potensi risiko kepada kesihatan awam,” katanya.