Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pekerja Makmal Wabak Plague Rusia Dilapor Meninggal Dunia Akibat 'Jangkitan' Tidak Diketahui

Meninggal Akibat Wabak Di Rusia
Gambar: Google Maps

Pihak berkuasa Rusia dilapor sedang menyiasat insiden membaitkan kemungkinan pelepasan jangkitan berbahaya yang berpunca daripada satu kemalangan di sebuah makmal di Siberia hingga menyebabkan seorang penyelidik wanita meninggal dunia.

Menurut CNN yang memetik laporan media tempatan TASS, kejadian berkenaan dilapor berlaku di Institut Penyelidikan Anti-Wabak di Shelekhov yang terletak di wilayah Irkutsk.

Setakat ini, masih tidak jelas 'apa' yang dilepaskan, kata agensi kawalan penyakit berjangkit Rusia, Rospotrebnadzor.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja makmal dilapor meninggal dunia dan diagnosis menunjukkan mangsa menghidapi pneumonia yang tidak diketahui asal-usulnya.

Bagaimanapun, Rospotrebnadzor menengaskan situasi sanitari dan epidemiologikal di wilayah Irkutsk serta bandar Irkutsk dan Shelekhov kekal stabil, manakala langkah-langkah khas berhubung kejadian berkenaan telah pun diambil.

Pekerja Makmal Meninggal Dunia Akibat Wabak Di Rusia

Gambar Hiasan

Terdahulu, Ketua Republik Buryatia yang berjiran dengan Irkutsk, Alexei Tsydenov berkata mangsa yang berusia 28 tahun kemungkinan meninggal dunia akibat wabak plague.

Namun, beliau menegaskan tiada wabak plague dikesan menular di Buryatia.

Manakala Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev, dalam kenyataan pada Jumaat menggesa orang ramai untuk bertenang dan memaklumkan bahawa satu menyuarat Suruhanjaya Anti-pandemik Wilayah turut diadakan bersama Ketua Doktor Kebangsaan Rusia.

Tambahnya, mesyuarat berkenaan mempunyai kaitan dengan “kes yang disyaki melibatkan jangkitan berbahaya” membabitkan seorang penduduk Irkutsk.

Menurut CNN, sebuah kilang aluminium yang terletak berdekatan dengan makmal berkenaan kini mengarahkan pekerjanya untuk memakai topeng muka.

Pengarah Kilang Aluminium Irkutsk, Artem Fominikh berkata, terdapat banyak khabar angin dan maklumat bercanggah sedang tersebar mengenai situasi tersebut.

“Semua individu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan mangsa kini berada di bawah pemantauan perubatan.

“Buat masa ini, mereka tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit dan keputusan ujian makmal mereka juga adalah negatif,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Rospotrebnadzor, Gennady Onishchenko berkata, jangkitan yang berlaku di wilayah Irkutsk “berkemungkinan besar bukan wabak plague, dan jika disahkan sebagai wabak plague, akan tiada sebaran penularan jangkitan berkenaan”.

Kata Onishchenko, keadaan cuaca sejuk di wilayah itu berkemungkinan akan membantu menghalang penularan wabak berkenaan.

Pneumonic plague merupakan salah satu daripada tiga jenis plague yang berpunca daripada bakteria Yersinia pestis.

Dua daripadanya lazimnya merebak menerusi gigitan kutu yang dijangkiti, haiwan pembawa penyakit atau sentuhan dengan tisu yang tercermar.

Tetapi pneumonic plague pula, mudah merebak dari satu individu ke individu lain menerusi partikal pernafasan.

Sumber:CNN
Intipati
  • Rusia dilapor menyiasat kemungkinan pelepasan jangkitan berbahaya di sebuah makmal Siberia.
  • Seorang pekerja makmal meninggal dunia akibat pneumonia yang belum diketahui asal-usulnya.
  • Kontak rapat mangsa dipantau, dengan ujian makmal dilaporkan negatif setakat ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan