Saintis menemui spesies cicak baharu di kawasan pergunungan Andes, Peru, yang hidup pada altitud lebih 4,800 meter (15,750 kaki) dari aras laut.
Muzium Sejarah Alam Universiti San Marcos memaklumkan penemuan spesies berkenaan pada Sabtu, yang dinamakan Liolaemus archipensis.
Cicak berkenaan berukuran antara enam hingga lapan sentimeter dan mempunyai corak warna berbeza mengikut jantina.
Cicak betina mempunyai tompok berbentuk empat segi pada bahagian belakang, manakala cicak jantan mempunyai tompok menyerong serta sisik berwarna putih yang membantunya menyamar dengan persekitaran berbatu.
Spesies baharu itu ditemui di kawasan selatan Andes, wilayah Arequipa.
Makan Tumbuhan Dan Haiwan Kecil
Menurut ahli biologi yang mengetuai penyelidikan, Ling Huamani-Valderrama, cicak berkenaan memakan tumbuhan serta haiwan artropod kecil.
Antara makanan spesies itu termasuk labah-labah, kumbang, pepijat dan larva serangga.
“Penerangan mengenai spesies baharu merupakan satu kemajuan yang sangat penting untuk biodiversiti di negara kita,” katanya kepada AFP.
Menurut Huamani-Valderrama, Peru kini mempunyai 296 spesies cicak.
Penemuan spesies baharu berkenaan turut diterbitkan dalam jurnal saintifik Switzerland, Diversity.


