Perkhidmatan tren MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa mulai jam 1.27 tengah hari tadi selepas kerja pembaikan sementara susulan gangguan bekalan kuasa akibat kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine berjaya diselesaikan.
Rapid KL menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemulihan bekalan kuasa itu membolehkan tren yang sebelum ini terkandas di Stesen Taman Equine kembali bergerak.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren alternatif yang disediakan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan selepas operasi kembali seperti biasa.
“Dengan pemulihan bekalan kuasa, tren yang sebelum ini terkandas di Stesen Taman Equine dapat bergerak semula dan operasi perkhidmatan kembali seperti biasa.
“Perkhidmatan tren alternatif yang disediakan sepanjang tempoh gangguan ditamatkan,” menurut kenyataan itu.
Rapid KL berkata, kekerapan perkhidmatan tren masih diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan operasi kembali stabil.
Bas Perantara Percuma Terus Disediakan
Dalam pada itu, perkhidmatan bas perantara percuma akan terus disediakan sehingga jam 3 petang.
“Pada masa sama, perkhidmatan bas perantara percuma akan terus disediakan sehingga jam 3 petang. Perkhidmatan ini akan dinilai semula berdasarkan keperluan operasi pada masa berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Rapid KL turut memaklumkan kerja-kerja pembaikan kabel akan diteruskan malam ini ketika waktu kejuruteraan bagi melengkapkan proses pemulihan infrastruktur.
Pada masa sama, Rapid KL bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian kecurian kabel terbabit.
“Rapid KL turut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian kecurian kabel terbabit.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dialami penumpang sepanjang tempoh gangguan dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama diberikan,” menurut kenyataan itu.
Penumpang dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi perjalanan MyRapid PULSE.

