Siakap Keli
Gambar Via Allkpop/DW

Gara-gara Tonton K-Drama ‘Penthouse’, Empat Remaja Di Korea Utara Terpaksa Jalani Hukuman Di Kem Buruh Selama 12 Tahun

Drama popular dari Korea Selatan, Penthouse kembali menemui penonton di seluruh dunia sejak awal Jun yang lalu. Dari musim pertama hingga ketiga, Penthouse menjadi antara drama yang mendapat rating tertinggi di negara tersebut.

Fenomena drama itu nampaknya juga sudah mula ‘menular’ ke negara jiran iaitu Korea Utara, sehingga ada yang telah ‘terkantoi’ menontonnya.

Menerusi laporan dari media tempatan, empat orang remaja dilaporkan telah ditangkap kerana menonton pelbagai drama dari Korea Selatan termasuk drama Penthouse itu.

Gambar Via Soompi

Memetik dari portal Allkpop, perbicaraan terbuka berkaitan kesalahan tersebut telah diadakan di sebuah stadium di Pyongsong, Korea Utara, pada 3 Jun yang lalu.

Mereka telah dituduh berkumpul bersama untuk menonton drama Korea Selatan hingga lewat malam ketika meraikan ulang tahun kelahiran pada 25 Mei yang lalu.

Laporan dari media tempatan juga mengatakan bahawa perbicaraan itu dijalankan dalam suasana yang ‘menakutkan’ dengan kesemua remaja itu digari.

Satu memory stick yang mengandungi lebih daripada 30 filem dan drama serta muzik video Korea Selatan menjadi ‘bahan bukti’ dalam perbicaraan itu.

Ia dikatakan telah melanggar Undang-undang Pengecualian Budaya Ideologi Anti-reaksi Korea Utara.

Disabitkan kesalahan, keempat-empat remaja itu masing-masing telah dijatuhi hukuman selama 10 hingga 12 tahun dan akan dimasukkan ke kem pendidikan buruh.

Untuk pengetahuan anda, Undang-undang Pengecualian Budaya Ideologi Anti-reaksi telah digunapakai di negara itu sejak akhir tahun lalu.

Walaupun perincian mengenainya tidak didedahkan tetapi pengedar video dari Korea Selatan, AS, dan Jepun akan dijatuhkan hukuman mati jika didapati bersalah.

Sumber: Allkpop

Sofea

There's always another side to every story