Siakap Keli
Gambar: Bernama

APMM Tahan Empat Nelayan, Rampas 20 Set Bubu Naga

IPOH, 22 Jun (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat nelayan dan merampas 20 set bubu naga kira-kira 1.8 batu nautika barat laut muara Kuala Kurau, Kerian, Ahad lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata bot nelayan berkenaan dikesan bot penguat kuasa APMM semasa rondaan rutin kira-kira 6.45 petang.

Beliau berkata semasa ditahan, bot nelayan tempatan yang dinaiki dua warga tempatan dan dua warga Indonesia berkenaan sedang melakukan aktiviti perikanan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan berumur lingkungan 14 hingga 50 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati dua warga Indonesia berkenaan telah tamat tempoh permit kerja.

“Hasil siasatan ke atas bot telah menemukan 20 set bubu naga bernilai RM1,400 yang disyaki digunakan untuk menangkap hasil laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sharenliza berkata kesemua nelayan bersama bot serta peralatan bubu naga dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk disiasat di bawah Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Katanya, kedua-dua warga Indonesia itu juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana menggunakan dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right