Selain hidupan akuatik, lautan atau tasik juga sebenarnya dipenuhi dengan sampah sarap terutama plastik. Ia mungkin mengambil masa yang sangat lama untuk terhapus atau mungkin tidak akan pernah terhapus.
Pun begitu, nampaknya bukan semua sampah yang ditemui di dalam air itu ‘tidak berguna’, mungkin ia mempunyai makna yang tersendiri buat seseorang.
Seperti yang ditemui oleh Jennifer Dowker ini. Menerusi Facebook Nautical North Family Adventures, penyelam wanita itu dilaporkan telah menemui satu botol yang sudah usang di dalam sebuah tasik di Michigan.

Apa yang mengejutkan adalah botol tersebut mengandungi satu nota yang dipercayai berusia 95 tahun yang lalu. Bertarikh tahun 1926, nota itu ditujukan kepada seorang lelaki yang bernama George Morrow di Cheboygan Michigan.
“Sudikah orang yang menemui botol ini menyerahkan nota kepada George Morrow, Cheyboygan Michigan,” nyata tulisan di dalam nota itu.

Setakat ini, perkongsian mengenai penemuan itu telah mendapat sebanyak 56 ribu tanda suka dan 94 ribu perkongsian di Facebook.
Rata-rata warganet teruja melihat penemuan itu dan bersama-sama cuba mengesan keluarga George Morrow.
Tidak lama selepas itu, Dowker berjaya menghubungi anak perempuan kepada George iaitu Michele Primeau.
“Saya tahu tarikh botol itu adalah pada 26 November. Ia tidak mengejutkan saya jika dia mencatat sendiri nota itu pada hari ulang tahun kelahirannya,” kata Michele.