Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN Melaka: Perbincangan Senarai Calon PH Selesai Lebih 95 Peratus - Fahmi

CALON
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Perbincangan mengenai senarai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah mencapai lebih 95 peratus, kata Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata pengumuman calon PH dijadualkan pada 24 Okt ini dengan lokasi akan diumumkan kemudian.

“Insya-Allah, calon-calon yang akan mewakili Pakatan Harapan akan diumumkan pada 24 Ok ini. Perbincangan di peringkat parti setakat ini, saya kira telah lebih 90 hingga 95 peratus selesai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan senarai calon dimulakan di peringkat parti komponen PH sebelum parti yang bertanding di sesuatu kerusi boleh mengadakan rundingan dengan pihak lain, sekiranya perlu.

“Sekiranya mana-mana parti yang telah diberikan amanah untuk bertanding di sesuatu kerusi melihat ada kewajaran untuk berbincang dengan pihak lain, perkara itu terpulang kepada parti berkenaan, dan akhirnya keputusan muktamad akan dibuat di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata tarikh pengumuman calon yang pada asalnya dijadualkan hari ini dipinda kepada 24 Okt atas permintaan kepimpinan PH Melaka.

Beliau berkata perubahan tarikh itu bukan disebabkan masalah permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun isu lokasi program.

“Tidak... tarikh itu diubah dan diselaraskan semula atas permintaan beberapa pemimpin termasuk rakan-rakan Pakatan Harapan di negeri Melaka.

“Jadi, kita selaraskan semula dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi Pakatan Harapan dijangka hadir pada 24 Okt,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan program pengumuman calon dan pelancaran jentera PH bagi PRN Melaka ke-16 yang dijadualkan berlangsung Ahad ini ditangguhkan.

Penangguhan itu mencetuskan persoalan apabila timbul dakwaan di media sosial bahawa perubahan tarikh berkenaan dikaitkan dengan masalah mendapatkan permit PBT bagi lokasi penganjuran program.

-- BERNAMA

Intipati
  • Fahmi berkata perbincangan senarai calon PH PRN Melaka selesai lebih 95 peratus.
  • Pengumuman calon PH dijadualkan pada 24 Okt, dengan lokasi akan diumumkan kemudian.
  • Fahmi berkata pindaan tarikh dibuat atas permintaan kepimpinan PH Melaka, bukan isu permit.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan