Siakap Keli
telaga barhout
Kredit: News.com.au/SCMP

(Video) Berbau Busuk & Digelar ‘Penjara Syaitan’, Kenali Telaga Barhout, Lubang Besar ‘Misteri’ Di Tengah Padang Pasir

Telaga Barhout (Well of Barhout), lubang misteri di timur Yaman ini dipercayai dikenali sebagai ‘penjara syaitan’ dek kerana bau busuk yang muncul dari kedalaman lubang tersebut.

Ia terletak di sebuah padang pasir di wilayah Al-Mahra yang berada sekitar 1,300 kilometer daripada ibu negara, Sanaa.

Lubang misteri berkenaan dipercayai mempunyai kedalaman sekitar 100 hingga 250 meter, selain mempunyai kelebaran seluas 30 meter, tulis News.com.au.

Menurut portal itu, pegawai negara itu sendiri tidak mengetahui apakah yang terletak di dasar telaga berkenaan.

“Ia amat dalam. Kami tak pernah sampai ke dasar telaga kerana hanya ada sedikit oksigen serta tiada pengudaraan,” kata Salah Babhair, Ketua Pengarah Badan Tinjauan Geologi dan Sumber Mineral Mahra.

Gambaran daripada atas telaga. (Kredit: News.com.au)

“Kami telah melawat kawasan itu dan memasuki telaga berkenaan sedalam 50 hingga 60 meter. Kami perasan perkara pelik di dalam. Kami juga hidu sesuatu yang pelik.. Ia situasi yang misteri,” tambahnya.

Hanya sedikit yang dapat dilihat daripada tebing telaga itu melainkan kumpulan burung-burung yang terbang keluar masuk daripada kedalaman berikutan kekurangan cahaya matahari yang dapat menembus jauh ke dalam lubang berkenaan.

Videografer yang cuba merakam perigi itu daripada jarak dekat mendakwa ia hampir mustahil untuk dirakam.

Kata Babhair, Telaga Barhout itu dipercayai sudah berusia jutaan tahun dan memerlukan kajian lebih mendalam.

“Lokasi ini perlukan lebih kajian dan siasatan,” katanya seperti dipetik News.com.au.

Sementara itu, penduduk tempatan percaya, objek berdekatan telaga misteri itu boleh disedut ke dalam lubang yang dipercayai dihuni makhluk ghaib termasuk jin.

Kredit: News.com.au

Sumber: News.com.au, South China Morning Post

Amira

Love yourself.