Siakap Keli

(Video) Membesar Tanpa Ayah & Keluarga Berpecah-belah, Lelaki Cipta Saluran Youtube “Dad, How Do I?” Untuk Bimbing Kanak-kanak Senasib, Kini Miliki 3 Juta “Subscriber”

Bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan, nampaknya kini ramai yang mula bergiat menjadi Youtuber dengan berkongsikan pelbagai kandungan-kandungan yang menarik.

Antara kandungan yang sentiasa mendapat perhatian penonton adalah mengenai life hacks atau tips berkaitan gaya hidup yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Mungkin ada yang belum tahu, terdapat satu saluran Youtube yang ‘didekasikan’ untuk menjawab semua persoalan berkaitan kehidupan seharian yang biasanya akan ditanya oleh anak-anak kepada bapa mereka.

Saluran Dad, How Do I? itu dikendalikan oleh lelaki yang dikenali sebagai Rob Kenney. Dari membaiki paip hingga ke cara untuk mencukur wajah, Rob sentiasa menyediakan kandungan yang amat berguna untuk orang ramai.

Gayanya yang santai juga membuatkan kebanyakan videonya sentiasa mendapat respon yang positif dari penonton.

Ada sebab cipta saluran Youtube

Pun begitu, alasannya membuka saluran Youtube itu sebenarnya sangat menyentuh hati.

Menerusi temuramah dalam satu rancangan radio di Chicago pada tahun lalu, Rob mengatakan bahawa dia berasal dari keluarga yang berpecah belah dan telah berpisah dengan bapanya sejak usianya masih lagi remaja.

Disebabkan itu, dia mempunyai impian untuk memiliki keluarga yang bahagia dan membesar menjadi ‘orang dewasa yang baik’.

Ketika umurnya baru menjangkau 50 tahun dan anak-anaknya juga telah dewasa, dia mula berfikir untuk melakukan sesuatu yang baharu. Sejak itu, dengan bantuan anak perempuannya, maka terciptalah saluran Youtube tersebut.

Menurutnya, dia banyak mendapat respon dari penonton yang tidak mempunyai bapa atau yang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan bapa mereka.

“Mereka mengatakan bahawa mereka menonton video saya dengan tangisan kerana teringat mengenai bapa mereka yang sudah tiada,” katanya.

Mencipta saluran itu sejak 1 April 2020, dia kini telah mempunyai sebanyak 3.49 juta subscribers dari seluruh dunia.

Sumber: Dad, How Do I?, CountryLiving

Sofea

There's always another side to every story