Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tolak Sepupu Guna Kerusi Roda Sejauh 42.2km, Lelaki Ini Cipta Kenangan Bermakna

Tolak sepupu guna kerusi roda
Kredit: ABC News

Bagi Nick Morrison, menamatkan larian sejauh 42.2 kilometer dalam acara Maraton Melbourne bukanlah sesuatu yang mudah seperti kebanyakan 20,000 peserta lain, lapor ABC News.

Tolak sepupu guna kerusi roda sejauh 42.2km

Ini kerana lelaki itu bukan sekadar berlari, malah turut menolak kerusi roda yang diduduki sepupunya, Toby Holt, 21, sepanjang perlumbaan berkenaan.

“Bagi keluarga saya, peluang untuk melakukan perkara ini bersama-sama sangat bermakna,” kata Morrison.

“Setiap kali saya teringat 100 meter terakhir perlumbaan itu, saya pasti meremang.”

Holt yang berasal dari Wagga Wagga, New South Wales, disahkan menghidap penyakit Huntington juvenil (JHD) empat tahun lalu. Penyakit keturunan yang jarang berlaku itu menjejaskan sistem saraf dan sehingga kini masih belum mempunyai penawar.

Holt menggunakan kerusi roda kerana penyakit berkenaan menjejaskan keupayaannya untuk bercakap dan bergerak.

Ketika ditemu bual oleh ABC, Holt berkata dia teruja kerana berpeluang menyertai maraton itu, malah tidak menyangka Morrison yang berasal dari Brisbane akan menawarkan diri untuk menolaknya sepanjang perlumbaan.

“Gila betul,” katanya.

Mahu cipta sebanyak mungkin kenangan

Ibu Holt, Louise Holt, berkata dia tidak dapat menahan sebak apabila anak saudaranya, Morrison, menghubunginya untuk bertanya sama ada idea membawa anaknya menyertai maraton itu sesuatu yang baik.

“Saya tidak tahu hendak berkata apa ketika itu. Maraton bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila perlu menolak Toby,” katanya.

“Saya sangat bangga dengan dirinya dan kasih sayang yang ditunjukkannya kepada Toby.”

Sejak Holt didiagnosis menghidap penyakit berkenaan, keluarga dan komuniti setempat sentiasa memberikan sokongan untuk membolehkannya menikmati pengalaman istimewa yang mungkin sukar dilupakan.

Antaranya termasuklah melancong ke Amerika Syarikat dan New Zealand untuk melakukan aktiviti sukan ekstrem, terjun udara serta menyertai maraton berkenaan.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk melakukan pengembaraan lain dalam masa terdekat, Holt berkata dia merasakan sudah mencuba pelbagai perkara mencabar.

Kredit: ABC News

“Tidak, sebab saya sudah melakukan semua perkara gila yang saya boleh lakukan.”

Louise pula menyifatkan anaknya sebagai seorang yang gemar mencuba perkara mencabar dan sanggup menyahut pelbagai cabaran.

“Dia memang sukakan cabaran dan akan melakukan apa sahaja. Sungguh menakjubkan melihat dirinya menerima keadaan yang dialami dalam kehidupan seharian tanpa pernah merungut,” katanya.

Louise berkata, melihat cara anaknya menghadapi penyakit itu cukup menyentuh perasaan, lebih-lebih lagi apabila suaminya, Stephen, turut menghidap penyakit Huntington.

“Perkara yang sukar ialah suami saya juga didiagnosis menghidap penyakit ini.

“Stephen dapat melihat apa yang sedang berlaku kepada Toby dan perkara sama turut berlaku kepadanya, cuma dalam keadaan yang berbeza,” katanya.

Dukung sepupu untuk melintasi garisan penamat

Morrison berkata dia membuat keputusan untuk mengeluarkan Toby daripada kerusi roda sejurus sebelum mereka tiba di garisan penamat.

“Kami berhenti tidak jauh dari garisan penamat. Saya membantu Toby keluar dari kerusi roda dan mendukungnya untuk melintasi garisan itu.

“Dengan cara itu, kami dapat melintasinya bersama-sama dan dia juga berpeluang berjalan sendiri melepasi garisan penamat,” katanya.

Bagi Morrison, menyertai maraton itu bukan sahaja peluang untuk mencipta kenangan bersama sepupunya, malah menjadi ruang untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit Huntington dan mengumpul dana bagi penyelidikan.

Mereka berjaya mengumpul lebih AS$4,000 (kira-kira RM17,000) untuk Huntington's Australia, badan kebangsaan yang menyediakan sokongan dan perkhidmatan kepada pesakit penyakit Huntington serta keluarga mereka.

Morrison berkata dia mahu menjadikan pengalaman itu sebagai sesuatu yang tidak akan dilupakan oleh keluarganya dan Toby.

Sebelum berlepas dari Brisbane ke Melbourne untuk menyertai perlumbaan itu, Morrison turut mendapatkan sokongan daripada seorang jurulatih larian dan rakan-rakannya.

Katanya, seorang rakan rapatnya mempunyai adik lelaki kelainan upaya, manakala keluarga rakan itu pernah mengenali seseorang yang menyertai maraton bersama ahli keluarga berkenaan.

“Saya menggunakan kereta sorong mereka dan berlatih menolak adik lelaki rakan saya itu untuk beberapa sesi larian,” katanya.

Morrison berkata, walaupun dia perlu mengerah tenaga untuk memastikan mereka berdua berjaya sampai ke garisan penamat sebelum menikmati sedikit minuman bersama-sama, Toby sebenarnya merupakan sumber inspirasi terbesar dalam hidupnya.

“Dapat melakukan perkara ini bersamanya dan memanfaatkan kehidupan yang kami miliki sebaik mungkin membuatkan saya sangat bersyukur,” katanya.

“Anda hanya perlu bangun, teruskan kehidupan dan manfaatkan setiap peluang yang ada. Itulah yang dilakukan oleh Toby.”

Sumber:ABC News
Intipati
  • Nick Morrison menolak sepupunya, Toby Holt, sepanjang Maraton Melbourne sejauh 42.2 kilometer.
  • Holt menghidap penyakit Huntington juvenil yang menjejaskan keupayaannya bercakap dan bergerak.
  • Mereka mengumpul lebih AS$4,000 untuk Huntington's Australia bagi sokongan dan penyelidikan penyakit.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan