Formula 1 (F1) bukan sekadar tentang deruman enjin, kelajuan di litar atau persaingan antara pelumba.
Bagi sesetengah peminat, setiap perlumbaan yang berlangsung turut membawa kembali pelbagai kenangan lama yang pernah tercipta di sebalik kemeriahan sukan permotoran itu.
Ada kenangan yang mungkin pada awalnya kelihatan kecil dan tidak begitu penting.
Namun, selepas bertahun-tahun berlalu, perkara yang pernah dilakukan bersama insan tersayang boleh menjadi memori paling berharga, terutama apabila insan tersebut sudah tiada di sisi.
Begitulah yang berlaku kepada seorang pengguna Threads, @adyhomhome, apabila kemeriahan F1 baru-baru ini tiba-tiba mengingatkannya kepada arwah bapanya dan satu kenangan yang tercipta ketika dia masih di bangku sekolah, kira-kira 22 tahun lalu.
Pernah cat bendera Malaysia bersama arwah bapa
Menerusi perkongsian di Threads, @adyhomhome berkata kejadian itu berlaku pada tahun 2004 ketika dia masih berada di Tingkatan Tiga.
Menurutnya, dia dan arwah bapanya pernah mengecat bendera Malaysia yang dilukis di atas permukaan simen di salah satu selekoh Litar Sepang.
Sebelum memulakan kerja mengecat, dia terlebih dahulu mengambil gambar bendera tersebut daripada Google sebelum menunjukkannya kepada arwah bapanya.
Mereka kemudian membuat garisan atau lining terlebih dahulu dengan mengikut bentuk bendera itu satu persatu sebelum mula mengecat sehingga siap.
Katanya, pada ketika itu, perkara tersebut kelihatan seperti satu kerja biasa sahaja.
Namun, dia tidak pernah menyangka kenangan kecil itu akhirnya menjadi begitu bermakna dalam hidupnya.
“Benda tu nampak macam kerja biasa je masa tu. Tapi sekarang bila aku fikir balik, itulah antara satu-satunya kenangan yang aku ada buat sesuatu bersama arwah bapak aku.”
Tonton F1 terus teringat arwah bapa
Hampir 22 tahun berlalu, kemeriahan F1 yang kembali menjadi perhatian membuatkan kenangan tersebut muncul semula dalam fikirannya.
Namun, katanya, apabila melihat F1 pada masa kini, dia bukan semata-mata teringat kepada perlumbaan atau kereta yang dipandu laju di litar.
Sebaliknya, dia teringat kepada arwah bapanya dan bendera Malaysia yang pernah mereka cat bersama.
“Bila tengok balik F1 sekarang, aku bukan teringat kereta laju sangat pun. Aku teringat arwah bapak aku.”
Lebih menyentuh hati, bendera tersebut menurutnya masih tersergam di Litar Sepang sehingga hari ini.
Mahu betulkan semula bendera tersebut
Dalam perkongsian sama, dia turut meluahkan hasrat untuk membetulkan semula bendera berkenaan sekiranya diberi peluang.
Menurutnya, terdapat beberapa bahagian pada bendera tersebut yang ingin diperbaiki, termasuk bahagian atas yang kini dicat dengan warna putih.
Katanya, bahagian tersebut sepatutnya menggunakan warna seperti rumput, selain terdapat bayang-bayang tertentu pada bendera bagi memberikan gambaran seolah-olah ia sedang berkibar.
“Kalau diberi peluang saya nak betulkan balik bendera tu. Bahagian atas dorang cat warna putih. Sepatutnya warna rumput. Dan sebenarnya ada bayang-bayang dekat bendera. Baru nampak bendera tu berkibar.”
Bagi orang lain, bendera tersebut mungkin sekadar sebuah lukisan besar di atas permukaan simen di Litar Sepang.
Baginya, bendera itu menyimpan kenangan yang begitu mahal kerana menjadi antara satu-satunya kenangan yang pernah dilakukannya bersama arwah bapanya.
Kini, setiap kali melihat F1, kenangan lebih dua dekad lalu itu kembali terukir dalam ingatan.
“Dan bendera tu masih tersergam indah di sana. Al-Fatihah buat arwah bapak ku. I love u Baba.”

