Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Max Verstappen Tersenyum Lebar, “Tu-Tu-Du-Du, Max Verstappen” Bergema Di Sepang

Max Verstappen Tersenyum Lebar
Kredit: Formula 1 & Red Bull

Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk mencuri peluang menceriakan sesuatu suasana, tidak kira ketika menghadiri majlis, acara mahupun aktiviti tertentu.

Ada sahaja gelagat atau idea spontan yang dicetuskan untuk menghiburkan orang sekeliling, malah tidak jarang usaha itu turut mendapat sambutan daripada orang ramai.

Begitulah yang berlaku baru-baru ini di Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila rakyat tempatan mencuri perhatian dengan gelagat mereka ketika pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen, menaiki podium selepas memenangi perlumbaan tersebut.

Max Verstappen Tersenyum Lebar Dengar Lagu Tidak Rasminya

Beberapa video tular di media sosial memaparkan Verstappen tersenyum ketika lagu “33 Max Verstappen” nyanyian Carte Blanq, Nils van Zandt dan Maxx Power dinyanyikan oleh penonton.

Rakyat tempatan mengambil peluang menyanyikan lagu yang kini dikenali sebagai lagu tidak rasmi Verstappen ketika lagu kebangsaan Belanda masih belum dimainkan.

Lagu yang popular dengan laungan “Tu-Tu-Du-Du, Max Verstappen” itu bergema di seluruh litar, malah Verstappen sendiri dilihat tersenyum dan terhibur dengan sorakan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkata Verstappen kelihatan sangat gembira mendengar laungan lagu tidak rasminya itu.

Sebagai info, Verstappen muncul juara GP Gulf Air Bahrain di Malaysia, sekali gus menandakan kepulangannya ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun.

Sebelum ini, Verstappen merupakan pemenang terakhir GP Malaysia pada 2017 sebelum F1 kembali ke SIC pada tahun ini untuk menganjurkan GP Bahrain yang dipindahkan dari lokasi asalnya di Bahrain.

Bagi peminat F1, lagu ini sudah tidak asing lagi, terutama laungan ikonik “Tu-Tu-Du-Du, Max Verstappen” yang sering kedengaran dalam kalangan penyokong pelumba itu.

Idea untuk menghasilkan lagu tersebut tercetus selepas pencipta lagu berkenaan menghadiri Grand Prix Hungary pada 2018.

Versi “33 Max Verstappen” kemudian dimuat naik pada 2022 selepas Verstappen memenangi kejuaraan dunia pertamanya sebelum diterbitkan semula pada 2023 di bawah label Spinnin’ Records.

Selepas dimainkan di beberapa festival muzik, lagu itu mula mendapat perhatian lebih meluas dan kemudiannya tular di media sosial, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai lagu tidak rasmi buat pelumba tersebut.

Sumber:@f1
Intipati
  • Verstappen tersenyum ketika penonton Sepang menyanyikan lagu tidak rasminya selepas perlumbaan.
  • Beberapa video tular memaparkan laungan “Tu-Tu-Du-Du, Max Verstappen” bergema di litar.
  • Artikel menyebut Verstappen muncul juara GP Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan