Anggota bomba telah mengesahkan puluhan ribu ekor ayam terbunuh setelah kebakaran besar terjadi di dua buah reban ayam, Jumaat lalu (3/7), lapor Daily Mail.
Berdasarkan sumber, kebakaran yang berlaku di Driffield, Yorkshire Timur itu dilaporkan telah marak ke bangunan kedua yang menampung 25,000 ekor ayam. Jumlah keseluruhan ayam yang terbunuh di kedua-dua bangunan itu adalah sebanyak 50,000 ekor ayam.
Menurut Barry Hughes, salah seorang penduduk Driffield, dia dan pasangannya terlihat kepulan asap dari Jalan York, seberang Driffield pada hari Jumaat malam. Katanya, “Asap nampaknya berada di arah yang kami lalui, jadi kami memandu sedekat mungkin ke Jalan Skerne. Kami menyedari bahawa itu adalah kawasan penternakan ayam.”
Tambah Barry, “Dari penglihatan kami, kami tidak dapat melihat api yang tinggi, tetapi nampak asap tebal. Polis telah menutup Jalan Skerne di persimpangan Jalan Elm. Asap naik dengan sangat pantas dan sangat kuat ke arah langit. Kawasan yang sangat menakutkan! Banyak orang turut berkerumun di sekeliling.”
Menurut Pasukan Bomba dan Penyelamat Humberside, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada pencucuhan (nyalaan api) secara tidak sengaja. Mereka telah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 6.07 petang, hari Jumaat.
Pada Jumaat petang, pihak bomba menggesa orang ramai untuk menghindari kawasan itu dan mengatakan mereka akan hadir untuk ‘beberapa waktu’ setelah kedua-dua bangsal ayam itu terbakar. Setelah 45 anggota bomba berada di tempat kejadian, api akhirnya dipadamkan pada hari Sabtu tengahari.
Sebanyak enam jentera dan tangga bomba digunakan untuk membantu mengawal api. Bahkan jet, drone, unit arahan dan kenderaan sokongan kebajikan juga digunakan setelah api merebak ke bangunan kedua.
Pasukan bomba Hummberside dikatakan terus memantau keadaan pada pukul 4.30 petang dan pemeriksaan penuh dilakukan pada pukul 5.23 petang, hari Sabtu. Mereka dilaporkan telah mengemaskini di sosial media pada jam 8.30 malam mengenai kemajuan yang baik sedang dibuat dan akan memantau kawasan tersebut dari semasa ke semasa.
Sumber: DailyMail.co.uk