Sebuah kapal kontena di Dubai dilaporkan telah meletup dan mengeluarkan bebola api besar, malah menyebabkan gegaran sejauh 15 batu melintasi hab komersial Emiriah Arab Bersatu.
Menurut Daily Mail, kebakaran yang berlaku pada Rabu (7/7) itu telah mengeluarkan nyalaan besar berwarna oren di atas kapal kontena di Pelabuhan Jebel Ali.
Letupan yang berlaku itu dilaporkan telah melepaskan gelombang secara mengejut ke seluruh bandar sehingga menggegarkan bangunan dan tingkap di kawasan kejiranan. Kawasan tersebut dikatakan berjarak sejauh 15 batu dari pelabuhan dan merupakan tempat tinggal banyak ekspatriat Britain.
Kira-kira pada pukul 11.45 malam, penduduk Dubai yang menyaksikannya telah merakam dengan telefon mereka dari bangunan tinggi. Rakaman video itu kemudiannya disiarkan di media sosial mengenai bebola api yang menerangi langit malam ketika itu.
Menurut sumber, tidak ada laporan yang mengatakan terdapat mangsa korban di pelabuhan tersebut dan punca kebakaran juga tidak diketahui. Menurut pegawai pelabuhan itu, mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga pada awalnya bagi memastikan pergerakan kapal lancar tanpa gangguan.
Justeru itu, pejabat komunikasi kerajaan berusaha mengeluarkan kenyataan segera bagi mengelakkan sebaran kabar angin. Hal ini kerana mereka masih menjalankan siasatan mengenai penyebab kebakaran tersebut berlaku.
Menurut pemerintah Dubai, perkhidmatan kecemasan telah berada di sana untuk mengawal kebakaran. Anggota bomba dilaporkan telah menenggelamkan kapal kontena besar tersebut. Namun, sejauh mana kerosakan yang berlaku pada pelabuhan yang luas dan kargo di sekitarnya itu masih tidak jelas.
Pelabuhan Jebel Ali dipercayai merupakan sebuah pelabuhan yang paling sibuk di Timur Tengah dan terletak di sebelah timur Semenanjung Arab. Pelabuhan ini merupakan buatan manusia yang terbesar di dunia dan menyediakan muatan dari benua kecil India, Afrika dan Asia.
Dikendalikan oleh DP World yang berpusat di Dubai, pelabuhan ini memiliki empat terminal kontena yang luas yang dapat memuatkan beberapa buah kapal terbesar di dunia. DP World menggambarkan Pelabuhan Jebel Ali sebagai hab pintu masuk dan penghubung penting dalam rangkaian perdagangan global yang menghubungkan pasaran timur dan barat.
This was the explosion heard across Dubai tonight. Details to follow. Praying all are safe. Via @xmufaxsam_ pic.twitter.com/pGUPYx0rUj
— Lovin Dubai | لوڤن دبي (@lovindubai) July 7, 2021
Sumber: DailyMail.co.uk