Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Peniaga Dapat Tambahan RM500 Lagi Tengah Bulan Julai, Permohonan Baharu GKP Akan Dibuka 15 Julai & Bantuan Boleh Mohon Menerusi PEMULIH

Sudah lebih setahun sejak pandemik bermula, rakyat sudah semakin resah dan tertekan kerana masih lagi tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Manakan tidak, ramai yang telah kehilangan pekerjaan, terpaksa menutup perniagaan dan tidak lagi mampu untuk menyara keluarga.

Buntu dan hilang arah, itulah yang dirasai oleh mereka pada ketika ini di samping risau memikirkan apa nasib yang bakal berlaku kelak. Lebih membimbangkan, ia juga sebenarnya boleh menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan.

Sememangnya agak sukar untuk bangkit dan teruskan semula perniagaan tanpa sokongan dan modal yang mencukupi. Pada waktu yang sama, ramai juga individu yang sukar untuk mencari pekerjaan pada ketika ini.

Bantuan GKP untuk yang terjejas

Mengambil kira perkara tersebut, kerajaan telah melaksanakan inisiatif bagi membantu dan menyokong kelangsungan perniagaan bagi golongan yang terjejas melalui Geran Khas Prihatin (GKP) secara one-off yang telah disalurkan sejak tahun lalu.

Ia dikhususkan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan. Dari GKP 1.0 hingga GKP 3.0, kerajaan memastikan agar penerima yang layak tidak akan tercicir dan boleh memanfaatkan wang yang telah diberikan untuk kegunaan perniagaan.

Bagi yang belum tahu, bayaran GKP 3.0 iaitu sebanyak RM500 akan disalurkan pada pertengahan bulan ini. Ia merupakan baki bayaran selepas RM1,000 yang telah diberikan pada bulan Jun yang lalu.

Tidak terhenti setakat itu, GKP 4.0 pula telah dilaksanakan menerusi pakej PEMULIH yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun yang lalu. Bayaran GKP 4.0 ini juga akan dibuat sebanyak dua kali iaitu pada bulan September dengan jumlah sebanyak RM500 dan pada bulan November, juga RM500.

Bantuan GKP 4.0 ini dijangka boleh membantu kira-kira 1 juta usahawan mikro untuk mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka.

Untuk yang belum mendaftar dan membuat permohonan, korang boleh mula melakukannya pada 15 Julai nanti. Status semakan permohonan pula boleh dilihat di pautan INI.

Bukan sahaja GKP 4.0, terdapat banyak bantuan lain yang akan diberikan melalui pakej PEMULIH khusus buat semua rakyat yang terjejas, namun mungkin ada segelintir daripada kita yang tidak tahu atau tertanya-tanya mengenai jenis ataupun apakah lagi bantuan yang boleh mereka dapat dalam tempoh getir ini.

Pakej PEMULIH, apa lagi rakyat dapat?

Bernilai sebanyak RM150 bilion, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH diperkenalkan bagi memberikan bantuan menyeluruh kepada semua rakyat. Ia juga sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara dan kesinambungan daripada pakej PEMERKASA Plus yang diumumkan sebelum ini.

Lebih kurang sama seperti PEMERKASA Plus, kerajaan menambah baik beberapa bantuan yang terdapat di dalam pakej itu dan merangka pakej PEMULIH berdasarkan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong kelangsungan perniagaan dan meningkatkan usaha vaksinasi.

Berikut merupakan bantuan-bantuan lain yang akan diperoleh oleh semua orang sehingga hujung tahun ini.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Dengan kadar bantuan antara RM100 sehingga RM1,400, bayaran bagi BPR fasa ketiga akan disalurkan pada bulan September nanti. Di samping itu, bayaran bagi yang telah lulus rayuan BPR akan disalurkan bulan itu juga.

Bayaran bagi BPR yang termasuk dalam pakej PEMERKASA Plus pula telah dibuat secara berperingkat mulai 29 Jun yang lalu.

Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah RM4.9 bilion. Untuk menyemak status BPR korang, boleh klik di pautan INI.

Bantuan Khas COVID-19 (BKC)

Dijangka akan memanfaatkan 11.4 juta penerima yang merangkumi 8.4 juta penerima B40 dan 3.0 juta penerima M40, Bantuan Khas COVID-19 dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapatkan bantuan sehingga akhir tahun 2021.

Kategori 1

  • Isi rumah kategori miskin tegar.
  • Individu bujang kategori miskin tegar.

Bantuan yang diterima

  • Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos, RM500 pada bulan November dan RM300 pada bulan Disember.
  • Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan November.

Kategori 2

  • Isi rumah kategori B40.
  • Individu bujang kategori B40.

Bantuan yang diterima

  • Isi rumah kategori B40 akan terima sebanyak RM500 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan Disember.
  • Bujang kategori B40 akan terima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos.

Kategori 3

  • Isi rumah kategori M40
  • Individu bujang kategori M40

Bantuan yang diterima

  • Isi rumah kategori M40 bakal terima bantuan sebanyak RM250.
  • Individu bujang kategori M40 akan terima RM100 pada bulan Ogos.

Bantuan Kehilangan Pendapatan

Sebanyak RM500 dijangka akan disalurkan pada bulan Oktober nanti kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.

Dengan bantuan ini, sehingga 1 juta ahli dijangka akan mendapat manfaat dan ia melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

KWSP i-Citra

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan i-Citra bagi membolehkan seramai 12.6 juta ahli membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan. Ia tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Pelaksanaan i-Citra ini dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Bila boleh mohon?

Korang sudah boleh mula memohon pada 15 Julai 2021 di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my. Pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun korang pada bulan Ogos nanti.

Tidak perlu risau jika sudah memohon untuk pengeluaran i-Sinar kerana korang tetap boleh mengeluarkan wang melalui i-Citra ini.

Pun begitu, pengeluaran ini hanya satu pilihan, ada banyak langkah lain yang telah diumumkan dalam Pakej PEMULIH, PEMERKASA Plus, PEMERKASA dan PERMAI terutamanya bagi membantu golongan rentan dan yang terjejas.

Moratorium tanpa syarat

Melalui PEMULIH ini, moratorium telah ditambahbaik iaitu diberi selama enam bulan dan tiada syarat tertentu ditetapkan seperti pengurangan pendapatan serta tiada semakan sama ada korang telah hilang pekerjaan.

Korang juga tidak perlu lagi mengemukakan sebarang dokumentasi untuk proses permohonan. Hanya mohon saja dan kelulusan akan diberikan secara automatik.

Siapa yang layak mohon?

Tiada pengecualian, setiap orang layak memohon bermula 7 Julai 2021 termasuk:

  • Semua peminjam individu dari golongan B40,M40 atau T20.
  • Usahawan mikro (tiada apa-apa syarat seperti sebelum ini).
  • Pengusaha PKS yang terjejas (tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank).

Selepas memohon, korang hanya perlu menandatangi perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan. Ia dilakukan kerana apa jua jenis kontrak atau perjanjian perlulah dimeterai agar ia sah di sisi undang-undang. Pihak BNM atau ABM/AIBIM akan memberikan penjelasan lanjut mengenai faedah terakru dan faedah terkompaun.

Bagi korang yang ingin mendapatkan nasihat dan bimbingan percuma dalam menguruskan kewangan, korang boleh melayari pautan AKPK ini.

Program Subsidi Upah 4.0

Program Subsidi Upah diteruskan lagi dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja. Ini antara penambahbaikan yang dilaksanakan menerusi PSU 4.0:

  • Kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama sehingga 4 bulan (2 bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN dan 2 bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga).
  • Tiada lagi had gaji kurang daripada RM4,000. Majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerja yang bergaji melebihi RM4,000.

PEMERKASA+ strategi kerajaan untuk melonjakkan kembali ekonomi negara

PEMERKASA atau nama penuhnya Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi merupakan strategi kerajaan untuk melonjakkan kembali ekonomi negara. Ketika ini negara berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Mei yang lalu telah mengumumkan PEMERKASA Plus untuk membantu golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan.

Mungkin ada di antara korang yang keliru atau terlepas pandang, justeru, SK kongsikan semula mengenai bantuan-bantuan yang terdapat di bawah PEMERKASA Plus ini.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan

Bayaran Fasa 3 dijadualkan pada September nanti, kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM2.1 bilion bagi program BPR ini dan menjadikan jumlah keseluruhannya untuk tahun ini adalah melebihi RM9 bilion.

  • Isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan akan menerima bantuan sebanyak RM500
  • Isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300
  • Golongan bujang akan menerima RM100

Bagi yang sudah menerima BPR 2021 sebelum ini, tidak perlu untuk membuat permohonan baharu kerana korang akan layak secara automatik. BPR Tambahan ini akan terus dikreditkan ke akaun bank korang.

Sementara itu, pembayaran secara tunai di kaunter BSN akan dilakukan bagi penerima BPR Fasa 2 yang berstatus gagal kredit.

Kerajaan juga telah membuka permohonan rayuan pada 15 Jun sehingga 30 Jun yang lalu kepada mereka yang layak dan tidak pernah menerima BPR sebelum ini.

Jika rayuan korang diluluskan, penyaluran BPR yang seterusnya dijangka akan dibuat pada Ogos dan September 2021. Korang boleh menyemak status BPR di pautan INI.

Bantuan pinjaman bersasar

Kerajaan bersama institusi perbankan menawarkan pakej bantuan bayaran balik pinjaman kepada lebih 5 juta peminjam individu dan perniagaan yang terjejas.

Pakej bantuan bayaran balik pinjam ini akan disediakan kepada peminjam yang layak mengikut dua kategori yang berikut:

Kategori 1

  • Golongan B40, M40 dan T20 yang kehilangan pekerjaan.
  • Individu B40 yang tersenarai sebagai penerima BSH atau BPR.
  • Perusahaan mikro yang mempunyai kemudahan dengan jumlah yang diluluskan kurang RM150,000.
  • PKS termasuk perusahaan mikro dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi akibat sekatan pergerakan.

Bagi kategori ini, korang boleh memilih moratorium automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50% untuk tempoh 6 bulan.

Kategori 2

  • Individu daripada M40 dan T20 yang mengalami pengurangan pendapatan (termasuk gaji, elaun, komisen, bayaran lebih masa dan pendapatan isi rumah).

Kategori ini pula akan menerima bantuan pengurangan jumlah ansuran mereka selaras dengan pendapatan yang berkurang.

Pilih pakej bantuan bayaran balik pinjaman

Untuk mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman ini, korang boleh menghubungi bank masing-masing dan membuat pilihan yang diinginkan.

Selepas itu, pihak bank akan memproses pilihan anda dalam tempoh 5 hari kalendar untuk peminjam individu dan 14 hari kalendar bagi peminjam PKS.

Bagi peminjam yang tidak menerima sebarang maklum balas daripada bank dalam tempoh yang ditetapkan atau menghadapi kesukaran berurusan dengan bank, korang boleh menghubungi BNM TELELINK atau isikan borang ini untuk membuat aduan: bnm.my/RAsurvey.

Jangan risau, bantuan bayaran balik pinjaman ini tidak akan menjejaskan rekod CCRIS korang.

Bantuan khas kepada pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing

Seramai 17 ribu pemandu pelancong, 40 ribu pemandu teksi, 11 ribu pemandu bas sekolah, 4 ribu bas persiaran dan 62 ribu pemandu kereta sewa dan e-hailing akan mendapat bantuan khas secara one-off sebanyak RM500. Ia akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar selewatnya pada bulan ini.

Secara keseluruhannya, kesemua bantuan di atas ini memberikan manfaat kepada semua golongan yang terjejas mengikut fasa tertentu dan ia merupakan kesinambungan dari pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang terdahulu iaitu PERMAI (Jan 2021) dan PEMERKASA (Mac 2021).

Tidak cuma itu, masih terdapat banyak lagi program dalam pelaksanaan yang melibatkan lebih RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga akhir tahun ini termasuk e-Belia dan Program Jaringan Prihatin.

 

Untuk pengetahuan korang, bantuan-bantuan di bawah PEMULIH dan PEMERKASA Plus juga merangkumi tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara yang baru sahaja dilancarkan pada 15 Jun lalu. Pelan ini merangkumi empat fasa bagi membolehkan negara bebas daripada kemelut pandemik COVID-19.

Peralihan fasa PPN pula adalah berpandukan kepada purata kes harian baharu, tahap penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratus populasi yang divaksinasi sepenuhnya. PPN membolehkan rakyat, perniagaan dan pelabur membuat perancangan sewajarnya apabila Malaysia beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. Ia juga memberikan kepastian dan kejelasan khususnya kepada sektor ekonomi dan sosial yang akan dibenarkan beroperasi semula apabila nilai ambang tertentu dicapai.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai setiap bantuan dan tarikh-tarikh penting, korang boleh melayari pautan INI.

Sofea

There's always another side to every story