Siakap Keli
faisal halim mula makan latihan ringan
Sumber: Stadium Astro

Faisal Halim Dah Mula Makan, Cuba Buat Latihan Ringan

Faisal Halim Dah Mula Makan, Cuba Buat Latihan Ringan

Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid Ahad lalu dikhabarkan menjalani pembedahan kedua, petang Selasa.

Menurut laporan media tempatan, pemain kebangsaan itu dilapor mengalami kelecuran tahap empat pada badannya.

Sejak itu, Faisal terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada di bawah pemantauan rapi di sebuah hospital swasta.

Berita duka membabitkan pemain itu bukan sahaja memberikan kesan kepada pasukan Merah Kuning, tetapi juga buat peminat bola sepak kebangsaan.

Bagaimanapun, selepas empat hari menerima rawatan akibat simbahan asid, pemain itu dikhabarkan sudah mula menjamah makanan dan cuba untuk melakukan latihan ringan sendiri pagi tadi.

Berita ini dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Dato’ Sri Shahril Mokhtar selepas melawat pemain itu di hospital, lapor wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Fina Nasrom menerusi temu bual bersama Dato’ Sri Shahril Mokhtar berkongsi video rakaman temu bual berkenaan keadaan semasa Faisal menerusi laman X (@fnasrom).

Berdasarkan perkongsian video tersebut, Dato’ Sri Shahril Mokhtar memaklumkan pemain itu semakin positif dan sangat bersemangat membuat persediaan menghadapi Liga Malaysia yang akan bermula Jumaat ini.

Difahamkan, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Emir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebentar tadi mencemar duli menziarahi Faisal di hospital sejak kejadian disimbah asid.

“Saya difahamkan semasa melawat bersama RMS, Faisal Halim sudah boleh makan dan sudah bersemangat untuk melakukan latihan sendiri.

“Ini sesuatu yang membanggakan kerana dia sangat kuat,” katanya.

BACA: Malaysia Dijemput Jadi Rakan Kongsi Program Jet Pejuang Siluman Turkiye

Sumber: Stadium Astro

Sharifah Hannah Adibah