Siakap Keli

(Video) Google Earth Kesan Kawasan Perumahan Misteri, Semua Penduduk ‘Hilang’ Tinggalkan Tanda Tanya

Sebenarnya terdapat beratus-ratus lokasi misteri yang wujud di dunia ini. Dengan teknologi yang canggih, kita boleh mengembara ke seluruh dunia hanya dengan menggunakan Google Maps sahaja.

Baru-baru ini, akaun TikTok Google Maps Fun menemui satu kawasan penempatan misteri di Clairton, Pennsylvania di Amerika Syarikat (AS). Lokasi yang dinamakan sebagai Lincoln Way itu merupakan sebuah kawasan kejiranan.

Namun apa yangditemui ini memang mengejutkan. Kawasan kampung ini telah ditinggalkan manusia. Ianya kosong dan sepi tanpa penghuni. Sekali imbas, agak ‘serupa’ macam kawasan zombi dalam filem Hollywood.

Sebelum kita ‘mengembara’ lebih jauh, jom tonton dulu video ini & baru kita kaji apakah sejarahnya.

@googlemapsfun

Reply to @usnc0117 😳😨📍Lincoln Way, Clairton part 2📍#googlemaps #googleearth #googlemapsfun

♬ sonido original – Misterios de Google earth

Lincoln Way, kejiranan yang mati & misteri

Lincoln Way merupakan sebuah penempatan penduduk di Clairton, kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar terdekat, Pittsburgh City. Terdapat lebih 50 buah rumah yang dibina di sini.

Bagaimanapun, tiada seorang pun penduduk yang masih tinggal di sini. Tapi apa yang menjadi misteri, kawasan ini ditinggalkan dalam keadaan ‘sempurna’. Masih ada kereta di luar rumah, keadaan rumah pun masih elok, tiada kesan terbakar ataupun letupan.

Kehilangan penduduk di Lincoln Way menarik minat ramai untuk mengkajinya hingga muncul pelbagai teori. Tempoh ‘pengosongan’ penduduk di sini dikatakan berlaku sepanjang 1970 sehingga 2009.

Gambar: Google

Difahamkan, banyak artikel kajian mengenainya pernah ditulis sebelum ini. Mengimbas kembali, Clairton merupakan kawasan penempatan majoriti orang kulit hitam pada satu ketika dahulu.

Aktiviti sosial masyarakat hidup seperti biasa. Di situ terdapat kawasan perumahan, kilang-kilang, kedai, pasar, gereja, sekolah dan sebagainya. Namun keadaannya tidak selalu indah.

Sejarah diskriminasi & jenayah

Sikap diskriminasi kaum orang ‘kulit putih’ terhadap mereka berlaku dengan melampau. Pada 1925, pernah terjadi kes empat anggota polis (kulit putih) menzalimi seorang penduduk yang alami masalah hilang ingatan.

Dikatakan mereka bertindak kejam dengan melemparkan gas pemedih mata melalui tingkap rumahnya, memukul dengan ganas, mencampakkannya di tangga rumah di hadapan isterinya serta menembak pinggulnya.

Namun pihak polis itu berkata mereka bertindak sedemikian kerana mendakwa lelaki tersebut (hilang ingatan) cuba menyerang mereka. Kes itu dibawa ke mahkamah, bagaimanapun keempat-empat polis tersebut dibebaskan.

Gambar: Google

Dalam kes lain, dua lelaki pernah ditahan ketika sedang memandu trak yang membawa bom seberat 35 paun. Malah mereka juga disiasat atas tragedi letupan bom yang memusnahkan lebih 40 buah rumah di sana.

Terdapat beberapa lagi kes-kes jenayah teruk yang pernah berlaku di sini satu ketika dahulu. Namun itu semua hanyalah sejarah. Ada satu lagi punca yang diteorikan – kenapa Lincoln Way menjadi sunyi iaitu pencemaran.

Pencemaran teruk

Menurut catatan, kawasan Lincoln Way pernah terjejas teruk dengan pencemaran. Dikatakan pencemaran itu berpunca daripada sisa buangan dari kilang yang menghasilkan minuman coke.

Difahamkan, syarikat tersebut, Clairton Works didakwa kerap melakukan pencemaran hingga pernah didenda beberapa kali oleh penguatkuasa. Syarikat itu melepaskan kimia dipercayai sulfur dioksida yang menyakitkan hidung, mata dan tekak penduduk.

Namun kes pencemaran ini hanya termaktub dalam catatan teori, ianya belum terbukti jelas sebagai punca mengapa Lincoln Way ditinggalkan sedemikian rupa hingga menjadi seakan kejiranan ‘berhantu’.

Tahun demi tahun (antara 1970 hingga 2009), kanak-kanak yang dibesarkan di Lincoln Way dikatakan dibawa pindah ke tempat lain. Manakala golongan dewasa yang ada pula terus hidup hingga ke penghujung usia.

Gambar: Google

Pendek kata, golongan keluarga yang muda telah mencari penempatan lain, maka tinggallah golongan tua yang masih di sana menghabiskan sisa hayat mereka. Akhirnya, Lincoln Way kehilangan penduduknya seorang demi seorang.

Rumah terakhir yang dievakuasi (oleh pengkaji tertentu) adalah pada sekitar 2012. Setelah semua penduduk tiada dan mati, Lincoln Way akhirnya berubah menjadi penempatan yang ditinggalkan (abandoned place).

Laluan masuk ke situ telah pun ditutup buat selamanya. Papan tanda amaran yang melarang orang awam masuk pun didirikan. Kini, Lincoln Way hanya tinggal nama. Penghuninya telah hilang, yang wujud cuma rumah-rumah kosong yang sepi.. dan adakalanya menyeramkan.

Gambar: Google

Sumber: TikTok / Mental Itch / Yahoo News / Military Bruce / Abandoned America

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'