Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhi hukuman itu selepas S. Sunjeevan, 26, mengaku bersalah.
Bagi kesalahan menipu bank, Nur Hafizah menjatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara lapan bulan ke atas Sunjeevan manakala bagi pertuduhan membuat laporan palsu, dia didenda RM1,200 atau penjara tiga bulan.
Sunjeevan didakwa telah memperdaya seorang pegawai bank Muhammad Asraf Mokhtar, 47, bagi mendapatkan ganti rugi atas wang palsu yang diterimanya dari mesin ATM sebuah bank, sedangkan wang itu bukan palsu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Sri Gombak pada 12.47 tengah hari 21 Julai lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sunjeevan juga didakwa membuat laporan palsu sehingga menyebabkan pegawai polis melakukan siasatan sedangkan penjawat awam itu sepatutnya tidak perlu berbuat demikian.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Gombak pada 1.28 tengah hari 21 Julai lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau dengan denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Fakta kes menyebut pada hari kejadian, tertuduh telah ke kaunter bank terbabit untuk meminta ganti rugi bagi enam keping wang bernilai RM100 palsu daripada sejumlah RM1,500 yang dikeluarkannya dari mesin ATM itu.
Siasatan mendapati tertuduh ada mengeluarkan wang berjumlah RM1,500 dan kesemuanya adalah tulen manakala enam keping wang bernilai RM100 itu adalah kepunyaannya yang disahkan palsu oleh Bank Negara Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala Sunjeevan diwakili peguam Azman Abdullah.
— BERNAMA