Setelah 45 tahun hilang tanpa khabar berita, seorang lelaki yang kini berusia 70 tahun telah kembali ke dakapan ahli keluarganya di Kollam, Selatan Kerala.
Menurut Hindustan Times, kepulangan Sajjad Thangal itu begitu mengharukan kerana dia telah dilaporkan hilang, bahkan telah dianggap meninggal dunia dalam nahas sebuah pesawat.
Detik-detik ketika dia pulang ke kampung halamannya menjadi tular di negara itu. Ibunya yang berusia 91 tahun dilihat menunggunya dengan membawa manisan.
Dalam keadaan yang penuh keterujaan, mereka dilihat berpelukan dan menangis sayu sehingga membuatkan orang di sekeliling mereka turut sebak.
Difahamkan, Thangal sepatutnya menaiki pesawat Indian Airlines pada tahun 1976 bersama pelakon terkenal, Rani Chandra dan rakan-rakannya untuk ke Abu Dhabi tetapi perubahan jadual membuatkannya menolak untuk pergi ke negara itu dan dirinya terselamat dari nahas tersebut.
Thangal ketika itu dilaporkan bekerja dengan Rani bagi menjalankan program kebudayaan di negara-negara teluk.
Nahas pesawat itu dilaporkan telah meragut 95 nyawa termasuk Rani. Kerana kehilangan kawan baik dan rakan perniagaannya, Thangal mengalami trauma yang teruk.

Dia dikatakan telah tinggal di Mumbai selama bertahun-tahun dan dipindahkan ke sebuah rumah perlindungan NGO setelah penyakit mentalnya bertambah teruk.
“Masa itu insurans tidak popular dan saya telah kehilangan banyak wang. Saya juga takut jika polis akan memburu saya.
“Hampir semua orang menyangka bahawa saya adalah antara yang terkorban dalam nahas itu,” katanya.
Ketika di rumah perlindungan NGO, Thangal mengatakan bahawa dia menjalani rawatan untuk penyakit mental. Dalam keadaan itu, dia menjadi seorang yang sangat pendiam dan sukar untuk berkongsi masalah.
Namun, setelah sekian lama, Thangal akhirnya membuka mulut dan bercerita mengenai ahli keluarganya.
Dari situ, pihak NGO telah membuat siasatan dan mendapati ibunya, Fathima Beevi masih hidup.
“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan, saya tidak pernah menyangka akan dapat bertemu semula dengan keluarga terutama ibu saya,” ujar Thangal.
Sumber: Hindustan Times