Rakyat Malaysia diminta untuk menghentikan serangan siber ke atas media sosial mana-mana individu berkaitan tragedi kemalangan pelumba negara, Shah Firdaus.
Jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang berkata, semua pelumba yang beraksi di Olimpik Tokyo 2020 sebaliknya bertanding secara profesional.
”Alhamdulillah syukur kerana saya memenangi perlumbaan pertama hari ini dan dapat terus memasuki pusingan suku akhir pada esok hari. Malang buat rakan sepasukan saya Shah Firdaus yang terlibat dalam kemalangan tetapi masih bangkit meneruskan perlumbaan di pusingan repecharge dan turut layak ke pusingan suku akhir bersama dengan saya esok.
“Dengan itu saya ingin memohon jasa baik seluruh rakyat Malaysia supaya jangan kita menyerang social media mana-mana individu kerana kami di sini berlumba secara professional dan semua beraksi dengan semangat kesukanan yang tinggi dan juga Olympic Spirit (semangat Olimpik).
“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan kami berdua esok,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
BACA: (Video) Kecoh Netizen Malaysia ‘Serang’ IG Jack Carlin, Pengulas Sukan Beri Pesanan
Sebelum itu, Azizul dengan mudah melayakkan diri ke suku akhir setelah berjaya mengekalkan kedudukan di hadapan pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul.
Dalam masa sama, seorang lagi jaguh trek berbasikal negara, Shah Firdaus Sahrom berjaya menempah tempat di suku akhir meskipun berdepan kemalangan pada saringan kedua.
BACA: Shah Firdaus Hanya Luka Ringan, Sedia Kembali ‘Berentap’ Esok
Kedua-dua atlet negara ini membawa harapan dalam memburu pingat emas pertama buat negara apabila sekali lagi bakal berentap di peringkat suku akhir pada Ahad.
Sumber: FB Datuk Azizulhasni Awang