Siakap Keli
Gambar: sulsel suara, Poskota sulsel

Sibuk ‘Membawang’ Sampai Terlupa Tutup Api Dapur Gas, Wanita Dituduh Jadi Punca Puluhan Rumah Terbakar

Puluhan rumah di sekitar Kompleks perumahan Lepping, Kecamatan Tamalate, Makassar, Indonesia dilaporkan terbakar disebabkan letupan gas di dapur.

Ketua bomba Kota Makassar, Hasanuddin, menyatakan bahawa sebanyak 95 buah rumah hangus musnah akibat kebakaran tersebut.

Dalam insiden itu, pihaknya dilaporkan telah mengerahkan puluhan jentera bomba dan anggota ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Sebanyak 22 jentera bomba dan 95 anggota yang dikerahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran,” kata Hasanuddin.

“Api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan,” ujarnya.

Salah seorang penduduk mendakwa bahawa kejadian tersebut berpunca daripada seorang wanita yang sibuk bergosip sehingga terleka untuk mematikan api di dapur.

“Ini berpunca dari kelalaian seorang makcik yang sedang memasak dan kemudian bergosip dengan jirannya,” kata penduduk itu.

Pemantauan yang dibuat di lokasi kejadian mendapati semua penduduk yang terjejas terpaksa melarikan diri dan menumpang tidur di masjid.

Terdapat juga beberapa penduduk yang sedang mengumpulkan barang-barang yang masih boleh disimpan.

Ketua Perkhidmatan Sosial Kota Makassar, Rusmayani Masjid menyatakan bahawa pihaknya kini sedang berusaha untuk menyediakan keperluan makanan buat mangsa kebakaran.

Sumber: suarasumut.id

Aqmal Ezany

I write what is right