Siakap Keli

Kepala Dibaling Botol Kicap & Ditumbuk, Tiga Beradik Jadi Mangsa Dera Ayah Kandung Lepas Ibu Meninggal

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kehilangan ibu tercinta buat selama-lamanya adalah detik paling sedih yang dirasai oleh tiga beradik ini. Apatah lagi hanya si ibu sahaja menjadi tempat bergantung selama ini.

Namun, kesedihan tidak berakhir di situ apabila derita pula muncul. Si ayah yang diharapkan sebagai pelindung mula menjadi panas baran. Setiap hari, tangan, kaki dan kata-kata kemarahanlah yang menjadi makanan mereka bertahun lamanya.

Aktivis kemasyarakatan, Natipah Abu berkongsi mengenai kisah ini demi membantu mereka keluar membina hidup baharu dengan menyewa kediaman sendiri.

Sedekah Jumaat: rumah sewa mangsa penderaan

Keperluan: RM5,000
Sumbangan melalui: Maybank Natipah Abu 552107617521

Saya Siti berumur 23 tahun. Saya seorang kakak kepada dua adik lelaki iaitu Adam, 20 tahun dan Idris, 16 tahun. Kami telah kehilangan ibu sejak 2016 setelah tujuh tahun menderita kanser paru-paru tahap empat.

Ketika ibu sakit, kami masih di bangku sekolah. Kami sangat susah ketika itu. Saya tak pernah lupa bagaimana Puan Natipah berusaha membantu kami terutamanya memberi rasa selesa dan bahagia kepada arwah ibu saya di saat akhir hayatnya.

Selain kewangan, Puan Natipah selalu melawat arwah ibu, saya melangkah ke universiti juga dengan membawa laptop yang dibeli dengan wang sumbangan dari pihak beliau.

[Kapsyen gambar: Segalanya berubah setelah arwah ibu pergi. Arwah seorang yang sangat baik ketika hayatnya. Al-Fatihah buatmu Kak.]
Saya meninggalkan kampung halaman untuk sambung belajar tidak lama sebaik arwah ibu pergi. Tinggallah adik-adik meneruskan hidup bersama ayah. Ayah bekerja di sebuah sektor swasta. Walaupun gaji ayah tak seberapa, tapi cukuplah untuk menampung hidup kami ketika arwah ibu masih ada.

Saya sangkakan segalanya baik-baik saja sehinggalah satu hari adik bongsu saya menangis memberitahu saya, dia dibelasah teruk oleh ayah. Beberapa keping gambar dihantar ke telefon saya sebagai bukti adik-adik teruk dibelasah ayah.

Bayangkan, ketika ibu pergi, adik-adik saya baru berusia 14 dan 10 tahun. Masih terlalu mentah untuk menghadapi itu semua. Sejak itu, hidup saya tidak tenteram lagi. Selang beberapa ketika, akan ada dan ada lagi berita tentang berita dan bukti ayah memukul adik-adik.

Sedih bila mendapat tahu, adakalanya mereka juga kelaparan. Ayah tiba-tiba berubah menjadi panas baran dan kadangkala cuai dalam urusan tanggungjawab terhadap adik-adik.

Bila cuti semester, saya tidak sabar hendak pulang ke kampung. Bukan kerana rindu kepada ayah tetapi kerana mengenangkan nasib adik-adik. Bila saya ada, walaupun saya juga menjadi mangsa pukul ayah, tetapi setidaknya makan minum adik-adik saya tidak terabai.

Bukan tidak ada saudara-mara yang tolong kami. Cuma tak ada yang mampu nasihatkan ayah. Ayah bukan jenis makan nasihat. Kalau tanpa bantuan saudara-mara, entah apalah nasib kami kini.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Selesai belajar, saya pulang dan bekerja sebagai penyelia di pusat aktiviti kanak-kanak di kampung dengan elaun hanya sebanyak RM500 sahaja sebulan. Saya juga membuat kerja lebih masa sebagai pengasuh kepada anak jiran yang tinggal berhampiran.

Lapan bulan saja tinggal di kampung, saya dapat tawaran bekerja yang sesuai dengan kelulusan saya. Memikirkan masa depan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi untuk saya menyara adik-adik, maka saya menerima tawaran itu. 

Setiap bulan, saya mengirim wang belanja kepada adik-adik. Saya fikir, dengan yang demikian, ayah tak perlu naik angin lagi bila satu bebannya selesai tetapi perkara yang sama tetap juga berlaku.

Pernah, adik yang sedang makan nasi dibaling dengan botol kicap oleh ayah. Pecah berderai botol jatuh ke lantai. Adik hanya mampu menangis kesakitan. Ayah juga pernah memukul kepala adik dengan kasut, dipulas tangan hingga berbiru muka, ditumbuk di muka dan kepala banyak kali sehingga lebam.

Walaupun sering dipukul ayah, baiknya adik-adik saya ini ialah tidak pernah melawan. Sejak kecil hinggalah ke hari ini, mereka sudah pun dewasa tetapi tetap tidak melawan.

Bayangkan, berapa lama sudah adik-adik saya menjadi mangsa penderaan. Atas kesalahan yang kecil, ayah mengamuk tanpa dapat dikawal lagi.

Pada awal tahun ini, saya membuat keputusan untuk pulang dan bekerja di kampung demi menjaga adik-adik saya. Saya bekerja sebagai pembantu guru di sebuag pusat jagaan dengan gaji sebanyak RM1,200.

Sayalah yang menanggung adik bongsu, makan dan keperluan rumah. Adik yang seorang lagi hanya bekerja kilang sahaja, cukuplah untuk dirinya.

Sebagai seorang kakak, saya bertanggungjawab memastikan adik-adik saya selamat dan menjaga kebajikan mereka. Itulah harta yang saya ada dan diamanahkan oleh arwah ibu saya.

Tetapi, keputusan saya menjadikan saya senasib dengan adik-adik. Setiap kali mereka dipukul, bila saya mempertahankan, maka saya juga mengalami nasib yang sama.

Kemuncaknya, baru-baru ini teruk adik bongsu saya dipukul. Saya nekad membuat laporan polis tetapi ayah dan adik-beradik ayah merayu ditarik balik laporan demi maruah dan kerjaya ayah.

Saya akur, tetapi dengan syarat, kami dibenarkan pindah dan hidup bersama tiga beradik kami. Cukuplah penderitaan bertahun yang kami tanggung selama ini. Saya ingin menjaga adik bongsu saya sehingga dia tamat SPM. Saya takut masa depannya rosak akibat selalu didera ayah.

Gambar: Natipah Abu

[Kapsyen gambar: Masih mengasihani ayah, dia kemudiannya menarik balik laporan yang dibuat.]

*****

Sedekah Jumaat kita untuk tahun bahary 1443H ini diakad untuk membantu tiga beradik ini memulakan hidup baharu dan waris terdekat juga telah maklum dengan keadaan ini.

Sebelum ini, mereka tinggal di sebuah rumah kampung yang disewa sejak hayat arwah ibu masih ada. Rumah sewa baharu kelak, terletak berhampiran dengan waris terdekat agar mudah bagi mereka memantau keadaan tiga beradik ini.

Sama-samalah kita jadikan kisah ini sebagai iktibar. Mendoakan yang baik-baik saja buat si ayah dan anak-anak ini tanpa sebarang syak wasangka. Tujuh tahun arwah isteri sakit lalu meninggal, kita tidak tahu apa yang tersirat di sebalik segalanya.

Kita berharap dengan wang sumbangan ini mampu menjelaskan sewa rumah selama setahun dan membeli keperluan rumah seadanya. Kita juga akan merujuk ayah ke kaunseling dengan pakar psikiatri. Semoga si ayah juga menemui sinar di dalam hidupnya.

Jumaat yang barakah, semoga Allah permudahkan segala urusan dunia dan akhirat kita..

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Sumbangan bagi keperluan sebanyak RM5,000 ini boleh disalurkan melalui nombor akaun 552107617521 (Maybank) atas nama Natipah Abu. Semoga usaha kita ini mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa. Amin.

Gambar: Natipah Abu

[Kapsyen gambar: Nota rindu buat ibu setelah lebih setahun ibu pergi. “Hidup ini macam air laut. Elok dari luar, dalam penuh masalah. Penuh sampah orang berikan. Ya Allah, aku tahu mengapa Kau berikan dugaan ini. Sebab nanti Allah nak bagi bahagia banyak lagi pada dugaan. Ya Allah, tempatkanlah ibuku syurga, Kau tempatkanlah aku syurga.” Sekarang barulah kita mengeri mengapa seorang anak lelaki yang ketika ini baru berusia 11 tahun, boleh menulis tentang ini.]

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'