Siakap Keli

Negeri Selangor Menjangkaui Sasaran Kedatangan Pelancong

Negeri Selangor Menjangkaui Sasaran Kedatangan Pelancong

SELANGOR, 3 Mei 2024 – Negeri Selangor menegaskan komitmennya untuk meningkatkan sektor pelancongan di Negeri ini dan menjangkakan kehadiran 7 Juta pelancong semasa Tahun Melawat Selangor 2025. Berdasarkan rekod baru-baru ini, Negeri Selangor telah berjaya menarik 6.54 juta pelancong pada tahun 2023. Pencapaian ini telah menjadi asas yang kukuh bagi pertumbuhan yang berterusan bagi tahun mendatang.

Daripada jumlah kemasukan pelancong yang direkodkan, 4,449,951 juta adalah pelancong domestik, manakala 2,086,263 juta adalah daripada pelancong antarabangsa. Data ini telah dikumpulkan oleh Tourism Selangor, sejajar dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), yang mentakrifkan pelancong sebagai individu yang perjalanannya termasuk menginap di sesuatu tempat. Menggunakan cara pengumpulan data yang digunapakai oleh pihak Tourism Malaysia, pengumpulan data di Negeri Selangor memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan dalam mengenalpasti pertumbuhan pelancongan.

negeri selangor kedatangan pelancong
Taman Tema Air SplashMania di Kuala Langat, Selangor mempunyai 24 gelongsor air dan 15 tarikan, sesuai untuk pelancong dari semua peringkat umur.

Kemasukan pelancong yang luar biasa sebanyak 6.54 juta pelancong pada tahun 2023 mewakili peningkatan sebanyak 46.4% daripada tahun sebelumnya, melepasi sasaran kemasukan 5 juta pelancong ke Negeri Selangor. Pertumbuhan luar biasa ini telah membuktikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dan menekankan keberkesanan inisiatif strategik yang bertujuan untuk mempromosikan segmentasi pelancongan negeri seperti ekopelancongan, taman tema, pelancongan makanan, warisan dan budaya. (Untuk maklumat lanjut tentang pertumbuhan pelancongan Negeri Selangor dari tahun 2021 hingga 2023, sila rujuk jadual di bawah).

Negara China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India kekal sebagai lima pasaran pelancong antarabangsa teratas untuk Negeri Selangor, menyumbang 46% daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong antarabangsa. Manakala, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pahang dan Pulau Pinang kekal sebagai pasaran pelancong domestik teratas, merangkumi 36% daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong domestik.

negeri selangor kedatangan pelancong
Sky Mirror di Kuala Selangor. Ia dikenali sebagai Secret Island of the Sky Mirror dan dinamakan sempena pantulan langit yang seperti cermin.

Selain itu, antara 12 Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya telah menerima kemasukan pelancong tertinggi dengan merekodkan 2.15 juta pelancong. Manakala, Majlis Perbandaran Hulu Selangor telah merekodkan peningkatan kemasukan pelancong yang tertinggi sebanyak 358%, daripada kemasukan 16,920 pelancong pada tahun 2022 kepada 77,521 pelancong pada tahun 2023. Ini membuktikan tawaran dan tarikan pelancongan di Negeri Selangor yang pelbagai dan semakin berkembang.

negeri selangor kedatangan pelancong
Mah Meri Cultural Village di Pulau Carey adalah rumah kepada etnik Mah Meri, salah satu daripada lapan belas kumpulan orang asli di Semenanjung Malaysia.

Pemain-pemain industri pelancongan dan para pelancong boleh menjangkakan lebih banyak pembangunan pelancongan yang baharu dengan pengalaman melancong yang tiada tandingan di Negeri Selangor pada tahun yang mendatang.

Nurul Naqiyah