Siakap Keli

(Video) Demi Nak Tunai Haji, Lelaki Nekad Jalan Kaki 6,437 KM Dari England Ke Mekah

Seorang lelaki tekad menempuh pengembaraan panjang sejauh 6,437 kilometer dari England ke kota suci Mekah dengan berjalan kaki secara solo untuk melaksanakan ibadah haji, lapor portal berita Birmingham Mail.

Adam Mohammed, 52, telah memulakan misi tersebut sejak 2 Ogos lalu, bermula dari kediamannya di Wolverhampton dan merancang mahu tiba di sana sebelum musim haji pada tahun 2022.

Sebagai bekalan sepanjang perjalanan, ayah kepada dua anak ini turut membina sebuah troli besi seberat kira-kira 250 kilogram yang digunakan sebagai tempat berehat, tidur dan makan.

Langkahnya mungkin agak mencabar di mana dia perlu sentiasa menolak troli tersebut di semua lokasi, sama ada di jalan raya, jalan tanah, laluan bandar dan sebagainya.

Bagi menaikkan semangatnya, Adam turut menggantung bendera kain putih sebagai simbolik pakaian ihram bagi ibadah haji yang bakal dijalaninya tahun depan.

Gambar: Birmingham

Troli besi tiga roda itu dipasang pelekat yang tertulis, “Perjalanan yang aman dari UK ke Mekah dengan jalan kaki”, disusuli gambar bendera England, Arab Saudi dan Ka’abah.

Sepanjang dua minggu perjalanannya setakat ini, dia telah melewati beberapa hentian seperti bandar Bedford, Northampton dan Cambridge Central Mosque.

Disebabkan kegigihannya yang mahu melaksanakan Rukun Islam kelima itu sangat menginspirasikan, Adam mula menjadi perhatian pihak media serta netizen di media sosial.

Segala perkembangan terkini mengenai misi itu akan dikongsikan menerusi akaun TikToknya, @peacejournyfromuktomecca yang kini sudah diikuti lebih 467,000 pengikut.

Berikut di bawah adalah beberapa video kisah pengembaraannya yang dikongsikan di TikTok. Dalam video ini, kelihatan Adam sedang bersedia untuk memulakan perjalanannya, ditemani ramai kenalan dan pihak media.

@peacejournyfromuktomecca

Away I go to Mecca, inshallah everything will go well. #fp #fyp #foryoupage #hajj #Mecca #Muslim #fpyシ

♬ original sound – Adam Mohamed

Kisahnya yang mendapat liputan meluas itu menyebabkan ramai pihak mudah mengenalinya. Justeru, dia akan berhenti di satu-satu tempat bagi melawat pihak-pihak tersebut sebagai ziarah.

Tidak kurang juga, di setiap tempat yang menjadi persinggahannya, Adam akan meluangkan masa bersama penduduk di kawasan itu, lantas perbualan mereka akan dikongsikan ke TikTok.

Menariknya, walaupun misinya ini adalah pengembaraan solo, namun terdapat ramai pihak yang sudi bantu bawakan trolinya yang berat itu, termasuklah pihak polis, lori penunda dan sebagainya.

Di samping itu, sebuah tabung sumbangan khas di bawah Gofundme dilancarkan bagi membantu menampung segala kos perjalanannya dan jumlah terkumpul setakat ini adalah RM116,000.

@peacejournyfromuktomecca

♬ original sound – Adam Mohamed

Sumber: Birmingham Mail / TikTok 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'