Bagi yang lahir pada tahun 90-an, korang mesti akan ingat dengan cover album Nevermind dari kumpulan Nirvana yang memaparkan seorang bayi sedang berenang dalam kolam.
Gambar itu boleh dikatakan agak legend jugalah sampaikan ia masih lagi menjadi perbualan sehingga ke hari ini. Manakan tidak, ramai yang tertanya-tanya mengenai identiti bayi itu termasuk umur dan keberadaannya.
Berita terbaru mengenainya mungkin boleh menjawab persoalan itu, tetapi nampaknya ‘bayi’ itu muncul untuk memberikan khabar yang tidak baik untuk Nirvana.
Menerusi laporan Daily Mail, ‘bayi’ itu yang dikenali sebagai Spencer Elden, 30, telah menyaman Nirvana kerana menggunakan gambarnya yang bertelanjang.
Difahamkan, dia telah menuntut ganti rugi sebanyak $2.5 juta (RM10.5 juta) kerana menganggap dia telah dieksploitasi ketika masih lagi di bawah umur.

Dalam dokumen yang diajukan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles, Spencer menuntut ganti rugi setelah dia mendakwa anggota kumpulan Nirvana, syarikat rakaman dan pegawai kreatif telah ‘memperdagangkan’ gambarnya untuk mendapatkan keuntungan.
Katanya, selama ini identiti dan namanya telah terkait dengan eksploitasi seksual komersial yang telah diedarkan dan dijual di seluruh dunia sejak dirinya masih bayi hingga sekarang.
“Defendan gagal mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi saya dan mencegah eksploitasi seksual dan penjualan gambar yang meluas,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu bapanya juga tidak pernah memberikan ‘pelepasan’ secara bertulis untuk gambar itu dan tidak dibayar.
Dia telah menuntut sebanyak $150,000 (RM630,750) dari 17 orang defendan termasuk ahli kumpulan Nirvana iaitu Dave Grohl dan Krist Novoselic, wakil harta tanah Kurt Cobain dan pengurus harta tanah Guy Oseary dan Heather Parry.
Gambarnya itu telah diambil pada tahun 1990 di pusat perairan Pasadena ketika dia berusia empat bulan.
Ia seterusnya dipilih oleh Kurt Cobain untuk dijadikan sebagai cover album kumpulan itu.
Sumber: Daily Mail