Siakap Keli
Gambar Via Straits Times

Dakwa Ceroboh Perairan Negaranya, Korea Utara Tembak Mati 3 Nelayan Warga China

Pihak berkuasa Korea Utara dilaporkan telah menembak mati tiga orang kru kapal nelayan dari China yang didakwa telah memasuki perairan Korea Utara pada akhir bulan Julai.

Menurut Daily NK, kapal nelayan China itu meninggalkan pelabuhan Zhuanghe, Wilayah Liaoning dan menuju ke perairan Wilayah Utara Pyongan pada 25 Julai untuk menangkap ketam.

Kapal yang digunakan mereka itu dikatakan merupakan jenis kapal yang sering digunakan ketika memancing di perairan berdekatan pantai barat Korea Utara untuk mengelak dari dikesan oleh kapal peronda Korea Utara.

Difahamkan, ketika mereka tiba berdekatan perairan Korea Utara, kapal itu ditiup oleh angin kerana Taufan In-Fa yang melanda di kawasan itu pada ketika itu.

Disebabkan itu, mereka seterusnya mendarat di sebuah pulau di wilayah Utara Pyongan.

Tidak lama selepas itu, tentera Korea Utara menemui mereka dan terus dibunuh.

Sumber mengatakan bahawa tentera tersebut memaklumkan kepada pihak atasan mengenai ‘pencerobohan’ itu dan perintah untuk membunuh dikeluarkan.

Ia bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Sosial negara itu pada Ogos tahun lalu yang meminta agar pasukan tentera melepaskan tembakan tanpa memberikan amaran kepada siapa atau apa pun yang memasuki zon penampan iaitu kira-kira satu hingga dua kilometer dari garis sempadan Korea Utara.

China telah memulakan siasatan mengenai kejadian tersebut dan ia dikatakan boleh memberi kesan kepada hubungan antara negara itu dengan Korea Utara.

Sumber: Daily NK

Sofea

There's always another side to every story