Bihun goreng merupakan salah satu menu masakan mi paling ringkas dan sangat mudah disediakan, malah ia juga banyak dijual di mana-mana sebagai santapan pagi mahupun jamuan majlis.
Jika kita lihat sekali imbas pada sepinggan bihun goreng, bahan-bahan yang wajib ada antaranya udang kering, potongan kobis, taugeh, cili, isi ayam dan sayur.
Tapi tahukah anda, resipi bihun goreng yang orang dulu-dulu buat, mereka memasukkan sejumlah besar gula dalam bahan masakan bihun ini. Unik kan? Tak terlalu manis ke begitu?
Oleh itu, jom kita cuba ikuti resipi unik bihun goreng udang kering campur 12 sudu teh gula yang dikongsikan Mohd Shukur dalam Masak Apa Tak Jadi Hari Ini seperti di bawah ini. Selamat mencuba!
Resipi unik, cara masak bihun goreng udang kering campur 12 sudu teh gula
Hari ini saya masak bihun yang agak mewah pada zaman arwah Tok nek saya. Bihun yang agak ‘rare’ pada zaman dia. Penuh aromatik. Yang penting authentic resipi daripada arwah Tok nek saya.
Maybe sama pembuatannya dengan sesetengah orang kat sini. Tapi bagi saya nilah makanan yang arwah Tok nek selalu buat masa dia sihat dulu. Kami memang rapat dari saya kecik.
Boleh dikatakan 60 peratus saya duduk dengan arwah Tok nek dan arwah Tok saya berbanding dengan family. Sebab arwah ayah saya dulu berniaga kedai makan.
Di sini saya lampirkan resipi macam mana cara pembuatan bihun ni. Semoga menjadi asbab mengalirnya pahala kepada arwah-arwah yang telah kembali menemui Penciptanya.
Bihun goreng udang kering
Bahan-bahannya:-
- 1 paket bihun (rendam air biasa)
- Udang kering sepaket kecik
- Bawang rose 3 biji*
- Bawang putih 2 ulas*
- Cili kering 4 biji*
- Belacan bakar (sikit saja)*
- Asam jawa (agak-agak besar duit 20 sen)*
- Gula 12 sudu teh
- MSG 2 sudu teh
- Garam 1/2 sudu teh x 7
- Serbuk kunyit 1/2 sudu teh*
Cara-caranya:-
- Bakar belacan
- Blend bahan yang bertanda ‘*’ sampai hancur (air jangan banyak)
- Goreng udang kering dalam minyak. Bila agak masak, masukkan bahan blend tadi. Tumis sampai naik bau.
- Masukkan perasa. Tumis seketika lagi. Bila nampak pecah minyak baru masukkan bihun.
- Kacau sebati bihun, buka api slow untuk dapatkan hasil bihun tak hancur. Biar bihun jadi lembut sendiri. Kalau perlu hanya masukkan air sedikit.
- Nak tahu bihun dah masak elok, kita akan nampak asap di permukaan atas bihun.
Selamat mencuba. Ilmu Allah semata-mata, saya tak pandai apa-apa..
Apa kata netizen
Perkongsian Mohd Shukur ini meraih lebih 9,400 tanda ‘Like’, kira-kira 2,300 maklum balas di ruangan komentar serta turut dikongsi sebanyak 3,500 kali setakat artikel ini ditulis. Cukup ‘laku’ betul resipinya.
Rata-rata netizen pada awalnya berasa janggal kerana berasakan 12 sudu teh gula itu terlalu banyak, takut bihun itu jadi terlalu manis hingga boleh sampai ‘potong kaki’.
Tapi setelah mereka mencuba sendiri resipi ini, barulah mereka tahu bahawa 12 sudu teh gula itu sudah cukup-cukup sebati dalam masakan. Perasan tak, Mohd Shukur tidak sebut pun kena letak kicap ke, sos tiram ke, sos cili ke, kan?
Oleh itu, jom kita lihat komentar-komentar terpilih yang menarik di bawah ini.
“Dah try! Sedap namateyy (nak mati) bang..” – Fydd Arsat.
“Memang sedap sangat walaupun simple…” – Aliza Ahmad
“Memang sedap. Petang nanti nak repeat lagi…” – Yatt Abd
“…resipi orang bagi orang share selagi hampa tak cuba masak rasa sendiri, hampa toksah dok pertikai la gitu gini..” – Salwa Khair.
Konteks komentar ini menjelaskan tentang sikap beberapa netizen yang mungkin meragui resipi bihun ini pada asalnya. Namun seperti yang dikatakan, selagi belum cuba sendiri, belum tahu. Sudah cuba, baru tahu macam mana sedapnya.
“…Ya Allah memang happy sangat sebab betul-betul sedap..bihun pun kenyal elok…” – Nur Hidayah
Mungkin ramai yang ragu tentang 12 sudu teh gula tu kan? Secara logiknya, dalam resipi yang dikongsikan ini, Mohd Shukur tidak letak pun sos, tiram, kicap, sos cili dan seumpamanya.
Malah bahan-bahan itu sebenarnya dipercayai mengandungi kandungan gula yang lebih tinggi. Jadi, agak logik jugalah apabila 12 sudu teh gula itu digunakan sebagai ‘ganti’, sesuailah untuk hidangan satu paket bihun.
Apa-apa pun, terima kasih kepada Mohd Shukur kerana sudi berkongsi resipi bihun goreng udang kering cara orang dulu-dulu masak. Mengimbau nostalgia pula.
Selamat mencuba semua. Sudah siap masak, jangan lupa kongsi gambar kat komentar ye!
Sumber: Mohd Shukur Mohd Shukur melalui Masak Apa Tak Jadi Hari Ini