Siakap Keli
Kredit: Tribunnews.com

Berharap Dapat Pulih, Wanita Dilapor Tidak Dapat Tidur Selama 7 Tahun Dari 2014

Seorang wanita yang dikenali sebagai Cucu ternyata sudah tujuh tahun tidak boleh tidur, lapor Tribunnews.

Keadaan badannya mulai mengalami perubahan di mana dia dikatakan selalu bergerak dan tidak boleh duduk diam sehingga menyebabkan dia tidak boleh tidur walaupun sudah memakan ubat tidur.

Menurut anaknya, keadaan Cucu sebelum ini normal tetapi sempat berubat kerana susah tidur. Setelah berubat dan sering mengambil ubat tidur, dia malah semakin susah untuk tidur sehinggalah saat ini, lapor portal.

Media melaporkan bahawa Unit Kesihatan Daerah Bandung Barat (KBB) bakal bertindak untuk menangani masalah Cucu yang berusia 45 tahun itu. Setiausaha Unit Kesihatan, Aam Wiriwan pula mengatakan bahawa pihaknya akan meminta Pusat Kesehatan Masyarakat (PUSKEMAS) untuk memeriksa keadaan wanita itu. “Nanti kami akan minta PUSKEMAS untuk buat pemeriksaan agar kami boleh menentukan tindakan yang selanjutnya.”

Tambah beliau, setelah melakukan pemeriksaan, pihaknya juga akan menangani kes tersebut dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang sesuai dengan autoriti yang dimiliki oleh Unit Kesihatan. Namun begitu, hingga saat ini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kes Cucu ini, baik secara lisan mahu pun tulisan.

Sementara itu, Cucu menceritakan kepada media bahawa dia berasa gelisah setiap kali hendak tidur sejak tahun 2014 yang lalu. Dia hanya mampu tidur untuk 2 hingga 3 jam sahaja. “Awalnya tak boleh tidur sejak tahun 2014. Dek kerana kesal tak tidur-tidur, saya pun jalan-jalan pada pukul 1 pagi. Kalau nak tidur pun mesti rasa gelisah” ujarnya.

Cucu sama sekali tidak tahu jenis penyakit yang dialaminya itu kerana tidak ada simptom sakit yang lain. Dia juga tidak tahu mengapa rasa gelisah setiap kali hendak tidur sedangkan dia tidak pernah memikirkan apa-apa masalah.

Menurut portal, Cucu sempat mengakui bahawa dia pernah jatuh dan kepalanya terhantuk, tetapi kejadian itu sudah sangat lama dan tidak pasti adakah ia salah satu punca penyebabnya. Kini, Cucu hanya berharap dia boleh kembali sembuh dan tidur dengan nyenyak.

Sumber: Tribunnews.com

Hanis Lyana