Siakap Keli

Bayi Mangsa Dera Ibu Bapa Di Tampin Dibenar Keluar Wad Semalam

SEREMBAN, 5 Sept – Bayi lelaki berusia 16 bulan yang dipercayai didera ibu dan bapa tirinya di Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, Tampin pada 25 Ogos lepas sudah dibenarkan keluar dari wad Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata bayi itu sebelum ini menerima rawatan di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan, sebelum dipindahkan ke HTAN untuk diberikan bantuan oksigen dan rawatan lanjut susulan kecederaan serius dialaminya akibat didera.

“Bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan untuk penjagaan sementara, sebelum diserahkan kepada neneknya atau keluarga terdekat selepas ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata bapa tirinya yang berusia 23 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Tampin pada pukul 9 pagi esok mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, manakala ibunya didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak.

Mengulas lanjut Anuwal berkata pasangan berkenaan baharu sahaja berkahwin lapan bulan lepas dan mengambil bayi berkenaan daripada jagaan neneknya dua minggu sebelum didera.

“Siasatan mendapati bapa tiri mangsa yang bekerja di sebuah stesen minyak di Tampin mengaku mendera bayi itu kerana tertekan. Dia turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.

Pada 3 Sept lepas, media melaporkan seorang bayi bukan sahaja ditumbuk pada muka malah terpaksa menahan kesakitan, apabila turut dicucuh puntung rokok selain terdapat kesan ditekap dengan seterika pada badan bayi berkenaan.

Kejadian terbongkar apabila pasangan berkenaan membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan kerana mengalami sesak nafas, sebelum doktor yang merawatnya membuat laporan polis.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang