Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ibu Bapa Tolong Alert! Ini Taktik Licik Pemangsa 'Grooming' Kanak-Kanak Di Alam Maya
Di sebalik skrin telefon yang nampak biasa, tersembunyi satu ancaman yang sangat besar. Media sosial yang sering digunakan anak-anak kita kini bukan lagi sekadar tempat hiburan, tetapi telah menjadi 'medan pemburuan' bagi pemangsa yang tidak dikenali.
Baru-baru ini, pihak berkuasa mendedahkan tindakan tegas terhadap rangkaian yang mengedarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian. Namun, itu hanyalah 'pucuk gunung ais' berbanding realiti sebenar yang berlaku.
Menurut sumber polis, apa yang kita baca di berita hanyalah sebahagian kecil sahaja.
"Kes yang orang dengar atau baca hanya apa yang kita nampak di permukaan. Realiti sebenar sangat menakutkan,” katanya kepada FMT.
Zaman sekarang, pemangsa tidak perlu lagi hadir secara fizikal untuk mendekati anak-anak. Mereka menggunakan kuasa 'ketanpanamaan' (anonymity) di platform digital untuk memantau dan memanipulasi mangsa tanpa dikesan.

Mengejutkan, pemangsa kini tidak lagi menggunakan laman web pelik-pelik, sebaliknya mereka 'lepak' di platform yang anak kita gunakan setiap hari.
Antaranya WhatsApp, WeChat, Facebook, Instagram, TikTok, Roblox dan Mobile Legends dan banyak lagi.
Kebiasaannya, mereka akan menyamar dan masuk ke dalam komuniti permainan video untuk mendekati mangsa secara perlahan-lahan.

Aktivis sosial yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye, menggambarkan internet sebagai 'medan pemburuan' di mana pemangsa mengeksploitasi sifat ingin tahu serta kerentanan emosi kanak-kanak.
"Ramai kanak-kanak mungkin tidak sedar mereka menjadi sasaran sehingga kemudaratan serius berlaku," katanya.
Sifat ingin tahu kanak-kanak inilah yang menjadi titik kelemahan yang dieksploitasi sepenuhnya.
Fakta menunjukkan 94 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 12 hingga 17 tahun adalah pengguna aktif internet. Dianggarkan kira-kira 100,000 kanak-kanak dalam kumpulan umur ini mungkin pernah mengalami eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun.
Sepanjang tahun 2024 hingga 2026, polis berjaya merampas lebih 1.47 juta fail digital, dan daripada jumlah itu, 205,000 adalah bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Bagi membendung gejala ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan kerajaan sedang menyediakan langkah keselamatan lebih ketat untuk pengguna di bawah 16 tahun.
Ini termasuk menghadkan pengurusan akaun media sosial secara sendiri, pengenalan mekanisme pengesahan umur yang lebih kukuh dan sistem pemantauan ibu bapa yang lebih efektif.
Walau hebat mana pun undang-undang, pihak polis menegaskan bahawa benteng utama tetap bermula dari rumah.
"Pihak yang sewajarnya melindungi kanak-kanak ialah ibu bapa mereka sendiri," tegas sumber polis tersebut.
Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur. Pantau aktiviti digital anak anda sekarang sebelum terlambat.