Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Abang Tanam Uri”, Gelagat Kanak-Kanak Tolong Carikan Batu Buat Tanda Curi Perhatian

URI
Kredit: Threads @syamimiaznn

Gelagat sekumpulan kanak-kanak yang spontan bertanya kepada seorang lelaki ketika dia sedang menanam uri mencuit hati pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai syamimiaznn berkongsi kisah suaminya yang sedang menanam uri sebelum didatangi beberapa orang kanak-kanak yang ingin tahu apa yang dilakukannya.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan pada mulanya menyangka lelaki itu sedang mencari cacing sebelum bertanya sama ada cacing yang ditemui boleh diberikan kepada mereka untuk dijadikan umpan memancing.

Tangkap layar video Threads @syamimiaznn

“Abang buat apa?”

“Cari cacing ke?”

“Kalau ada cacing, bagi saya. Nak buat umpan memancing,” antara perbualan spontan mereka.

Suaminya kemudian menjelaskan bahawa dia sedang menanam uri.

Mendengar jawapan itu, kanak-kanak berkenaan menawarkan diri untuk membantu dengan mencari batu bagi dijadikan tanda.

Malah, salah seorang daripada mereka turut berkongsi pengalaman keluarganya yang pernah menanam uri di kawasan berhampiran kubur, sambil berseloroh tentang haiwan yang mungkin menggalinya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi, dengan ramai pengguna terhibur melihat gelagat dan kepolosan kanak-kanak berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, firdfirdaus_92 berpendapat kanak-kanak masa kini seakan-akan kembali menikmati aktiviti luar seperti generasi terdahulu.

“Perasan tak, budak-budak sekarang dah kembali ke zaman 90-an dulu. Bukan semua, tetapi macam dah nampak. Beramai-ramai berbasikal, pergi memancing dan baru-baru ini nampak satu kumpulan meredah air mencari ikan laga di paya tepi taman.

“Pernah juga tanya, tak main permainan video ke? Mereka kata permainan video sekarang semuanya membosankan,” katanya.

Sementara itu, 44rch1v turut terhibur melihat gambar yang dikongsikan sehingga menyifatkan kanak-kanak berkenaan kelihatan seperti sedang beratur untuk menyaksikan apa yang berlaku.

Dalam pada itu, zarildollah menitipkan doa agar kanak-kanak berkenaan terus membesar menjadi insan yang baik.

“Terus kekal jadi baik ya anak-anak. Semoga sentiasa dalam rahmat Allah,” tulisnya.

Perkongsian ringkas itu bukan sahaja mencuit hati, malah mengingatkan ramai tentang gelagat spontan kanak-kanak yang sering menceriakan suasana dengan pertanyaan dan tindakan mereka yang tidak dijangka.

Sumber:Threads
Intipati
  • Seorang lelaki didatangi kanak-kanak ketika menanam uri, menurut perkongsian isterinya di Threads.
  • Kanak-kanak itu pada mulanya menyangka lelaki berkenaan mencari cacing untuk umpan memancing.
  • Mereka kemudian menawarkan bantuan mencari batu sebagai tanda, mencuit hati pengguna media sosial.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan