Bagi kita, mengambil makanan, membawa segelas air atau mengenakan baju berbutang mungkin sekadar rutin harian. Buat sahaja, tanpa perlu berfikir panjang.
Namun, bagi Zulfaqar Aslam Zulkefli, perkara yang kelihatan kecil itulah antara cabaran yang perlu dihadapinya dalam kehidupan seharian.
Pemuda berusia 26 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dengan cerebral palsy ini mempunyai satu impian yang sangat dekat dengan hatinya, mampu menguruskan diri dan bergerak sendiri.
Dia mahu keluar melakukan urusan, meneruskan kehidupan dan mencuba sesuatu tanpa terlalu bergantung pada masa serta bantuan orang lain.
Di sebalik penglibatannya di platform media sosial dan kejayaannya menggenggam ijazah, impian untuk berdikari itulah yang masih diperjuangkan sehingga hari ini.
Langkah yang bermula dengan usaha seorang ibu
Berasal dari Muar, Johor dan kini menetap di Kuala Berang, Terengganu, Zulfaqar menyimpan satu kenangan zaman kecil yang begitu bermakna.
Kenangan itu ialah ketika ibunya melatih dia berjalan menaiki dan menuruni bukit di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh, Muar.
Menurut Zulfaqar, doktor pernah memaklumkan bahawa dia tidak boleh berjalan. Namun, ibunya terus berusaha melatihnya.
“Alhamdulillah, hasil ibu saya boleh berjalan,” katanya ketika berkongsi kisah tersebut.
Bagi Zulfaqar, kebolehan berjalan yang dimilikinya hari ini tidak terpisah daripada usaha ibunya pada waktu itu.
Kini, dia sendiri mengakui gemar bergerak ke sana sini. Namun, untuk pergi jauh bersendirian, masih ada kebimbangan tentang keselamatan dan bagaimana mahu menguruskan diri dengan keadaan pergerakannya.
Keinginan itu ada. Keyakinan dan kemampuan untuk melakukannya pula terus dibina, sedikit demi sedikit.
Pernah hampir mengalah beberapa bulan sebelum SPM

Perjalanan pendidikannya juga menuntut penyesuaian yang besar.
Zulfaqar mengikuti pendidikan khas sejak berusia lapan hingga 16 tahun. Pada usia 17 tahun, dia memasuki aliran perdana dan ditempatkan di Tingkatan Empat, sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berusia 18 tahun.
Peralihan itu disifatkannya sebagai pengalaman yang sangat mencabar.
Malah, ketika peperiksaan hanya berbaki sekitar tiga hingga empat bulan, Zulfaqar pernah hampir berputus asa untuk meneruskannya.
Pada saat itulah ibu, ayah dan guru-gurunya menjadi antara insan yang menguatkannya untuk terus mencuba.
Dia turut mengenang sokongan pengetua sekolah ketika itu, Tuan Haji Rahman @ Abdul Rahman Selamat, serta guru pendidikan khas dan guru aliran perdana yang tidak membiarkannya mengalah begitu sahaja.
Apabila mengenang kedudukannya hari ini, Zulfaqar mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang pernah membantunya melalui fasa tersebut.
Sokongan itu menjadi sebahagian daripada perjalanan yang akhirnya membawanya ke universiti.
Empat tahun belajar, bukan hanya untuk segulung ijazah

Zulfaqar kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian.
Sepanjang empat tahun di universiti, dia turut belajar sesuatu yang amat penting buat dirinya: menjalani kehidupan dengan lebih berdikari.

Dia cuba menguruskan keperluan sendiri setakat yang mampu. Dalam masa sama, Zulfaqar memahami bahawa orang di sekelilingnya juga mempunyai urusan dan komitmen masing-masing.
Kehidupan kampus turut membuka ruang untuk dia terlibat secara langsung dalam penganjuran program, termasuk sebagai sebahagian tenaga kerja Minggu Profesional Kerja Sosial UniSZA.
Apabila diberi peluang, dia mahu mencuba dan menyumbang dengan caranya sendiri.

Kisahnya mendapat perhatian ketika konvokesyen UniSZA pada 2025, sehingga dipaparkan dalam artikel dan rancangan televisyen.
Namun, apabila ditanya tentang pencapaian paling bermakna, jawapannya kembali kepada perkara yang sama.
Dia mahu mampu menjalani kehidupan sendiri.
Pengalaman berdikari di UniSZA sangat berharga buatnya. Kini, dia berharap kemampuan itu dapat dibawa lebih jauh dalam kehidupan di luar kampus.
Ada sisi kesukaran yang orang tidak nampak tentang Zulfaqar
Di sebalik pencapaian tersebut, masih ada urusan harian yang sukar dilakukan Zulfaqar.
Mengangkat barang yang banyak, memakai baju berbutang serta membawa makanan dan minuman merupakan antara perkara yang memerlukan bantuan.
Dia turut mengakui emosinya mengalami turun naik hampir setiap hari.
Apabila melalui hari yang sukar, Zulfaqar akan cuba menenangkan diri. Berjoging juga menjadi antara caranya untuk menenangkan fikiran.
Perkongsian itu memperlihatkan sisi kehidupannya yang mungkin tidak selalu diketahui orang ramai. Dia juga berdepan rasa bimbang, kepenatan emosi dan hari-hari yang mencabar.
Namun, dia masih mahu mencuba lagi.
Mahu difahami, bukan dikasihani

Dalam menerima pertolongan, Zulfaqar berharap orang ramai memahami keperluannya dan menghormati pilihannya.
Dia mengakui rasa kasihan daripada orang lain boleh membuatkannya tidak selesa. Apa yang diharapkan ialah empati serta ruang untuk melakukan sesuatu mengikut kemampuannya.
Zulfaqar juga mahu dapat bergaul seperti orang lain, tanpa jurang yang memisahkan dirinya daripada masyarakat hanya kerana status OKU.
“Sebabnya kita pun manusia yang normal juga,” katanya.
Harapan itu turut dibawa melalui penglibatannya sebagai ahli kepimpinan Majlis Belia OKU Malaysia, dengan hasrat membantu belia OKU mendapat ruang dan peluang berdasarkan kelebihan masing-masing.
Selain aktif menghasilkan kandungan di media sosial, dia turut menjalankan kerja bebas dan menjual baju edisi khas “I AM A FIGHTER” keluaran MALTRAZ.
Baginya, masih ada impian yang sedang diusahakan walaupun perjalanan untuk mencapainya tidak mudah.
“Teruskan buat, jangan putus asa”

Andai dapat bercakap dengan dirinya ketika masih kecil, itulah pesanan yang mahu disampaikan Zulfaqar.
Ringkas, tetapi dekat dengan perjalanan hidupnya.
Hari ini, keutamaannya tetap sama. Dia mahu mampu bergerak sendiri selama yang boleh dan menguruskan kehidupannya dengan lebih berdikari.
Zulfaqar berharap orang ramai sudi memberinya peluang untuk terus melakukan apa yang sedang diusahakan tanpa sebarang jurang perbezaan.
Bagi, yang ingin memberikan sokongan pada Zul, boleh layari ke akaun TikToknya atau klik di sini
Dahulu, ibunya melatih dia melangkah di sebuah bukit. Kini, Zulfaqar mahu meneruskan langkah itu lebih jauh, dengan keyakinan untuk menentukan arah hidupnya sendiri.
